Mengukir Makna Persahabatan dan Kembara Sejati

Langit petang Lombok menyambut kedatangan rombongan Northern Versys Owners Group (NVOG) & Friends dengan hembusan angin tropika yang hangat. Pada 16 Oktober 2025, kumpulan penunggang dari Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok untuk memulakan “NVOG Lombok Adventures Trip 2025”, sebuah program Fly & Ride selama empat hari tiga malam yang menggabungkan semangat permotoran, persahabatan dan kembara budaya. Para peserta disambut senyum mesra dan pengalungan selendang selamat datang daripada warga tempatan Pak Daniel.

Seusai urusan imigresen, dua buah bas disediakan membawa peserta ke Hotel Mataram, penginapan rasmi sepanjang program. Malam pertama dimulakan dengan jamuan di Restoran Ayam Taliwang sebelum sesi santai di pekan Mataram. Selesai menerima motosikal masing-masing di lobi hotel, semangat NVOG semakin membara menantikan hari esok yang penuh pengalaman baharu.

Keesokan paginya, tepat jam 8.00 pagi, deruman enjin bergema menandakan bermulanya perjalanan ke Pelabuhan Gili Lembar. Dari situ, peserta menaiki bot menuju ke gugusan pulau indah Gili Terawangan, Gili Nanggu, Gili Sudak dan Gili Kedis. Air laut yang jernih menjadi pentas aktiviti snorkeling dan diving, sementara sebahagian peserta memilih berehat di pantai atau menikmati makan tengah hari di restoran terapung. Suasana penuh keceriaan menggambarkan semangat kebersamaan di antara ahli kelab yang datang dari pelbagai latar belakang, disatukan oleh minat dan persahabatan dalam dunia permotoran.

Sesi petang diteruskan dengan perjalanan pulang ke Lombok melalui laluan berbukit dan berliku di kawasan Pelangan, Makaki dan Buwunmas. Panorama sawah teres dan kampung nelayan menjadi pelengkap pemandangan sepanjang perjalanan. Setibanya di hotel, para peserta menikmati makan malam sebelum meluangkan masa bebas di sekitar Mataram. Berbual santai, menikmati kopi tempatan, dan berkongsi kisah hari yang penuh warna.

Hari ketiga, 18 Oktober 2025, menjadi kemuncak kembara apabila rombongan menuju ke kawasan tanah tinggi Sembalun di lereng Gunung Rinjani. Laluan menuju ke Pusuk Pass memberikan pengalaman luar biasa dengan pemandangan yang sangat jurang dalam, kabus pagi dan udara dingin yang menyegarkan. Peserta singgah di Masjid Kuno Bayan serta pusat tenunan tangan tradisional untuk menyelami budaya tempatan. Di Sembalun Viewpoint, keindahan alam yang terbentang luas memukau pandangan sebelum perjalanan diteruskan ke Litar Mandalika, lambang kemodenan dan kebanggaan warga Lombok dalam dunia permotoran.

Momen di Litar Mandalika menjadi detik simbolik buat NVOG & Friends. Para penunggang berdiri teguh di litar tersebut, membawa nama Malaysia dan semangat kelab ke peringkat antarabangsa. Seusai sesi bergambar, rombongan kembali ke hotel dan menyerahkan motosikal kepada penyedia perkhidmatan. Malam itu, mereka berkumpul di sebuah kafe berhampiran hotel, menikmati suasana santai sambil mengenang pengalaman sepanjang perjalanan.

Pagi terakhir, 19 Oktober 2025, tiba dengan rasa syukur dan sedikit sayu. Seusai sarapan, peserta bersiap untuk daftar keluar dan dalam perjalanan ke lapangan terbang, mereka sempat berhenti di kawasan Sukarara membeli hasil kraftangan tempatan. Suasana ceria dengan gelak tawa dan ucapan terima kasih menutup tirai kembara penuh makna ini. Sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 12.10 tengah hari, semua peserta menzahirkan rasa terima kasih atas pengalaman yang tidak ternilai.

Bagi warga NVOG, perjalanan ke Lombok ini bukan sekadar lawatan atau percutian, tetapi simbol kekuatan ukhuwah dan disiplin sesama penunggang. Program ini dijalankan tanpa caj tersembunyi, sekadar usaha ikhlas untuk memperkukuh komuniti permotoran. Dengan penyertaan seramai 45 orang peserta, setiap detik perjalanan menjadi bukti bahawa semangat persaudaraan dan rasa hormat mampu mengangkat nama NVOG ke tahap lebih tinggi.

NVOG Lombok Adventures Trip 2025 akhirnya melabuhkan tirai dengan penuh makna. Ia membuktikan bahawa dunia permotoran bukan hanya tentang kelajuan atau destinasi, tetapi tentang perjalanan yang menyatukan hati dan memberi erti pada persahabatan. Seperti yang diungkapkan oleh pihak pentadbiran NVOG, “Jika ada sebarang kesilapan, kami pohon kemaafan. Semoga ukhwah yang terjalin ini berkekalan dan terus mekar di jalanan.” Sebuah penutup indah bagi satu kembara yang akan kekal terpahat dalam ingatan semua peserta.