Salah satu nama besar dan terkenal untuk dunia dua roda di pasaran India adalah Royal Enfield. Jenama ini mempunyai pengaruh yang cukup kuat dan hampir setiap pengeluar motosikal di sana cuba menjatuhkan posisinya di tangga yang teratas. Apa yang membuatkan motor keluaran Royal Enfield disukai ramai?
Gaya vintaj dan dalam masa yang sama, aura mekanikal yang disatukan dalam setiap motor keluarannya adalah ciri-ciri istimewa Royal Enfield. Bukan itu sahaja, mungkin bukan di Malaysia tetapi motor dari Royal Enfield sangat digemari oleh penggemar modifikasi. Jadi, tidak hairanlah banyak contoh motosikal Royal Enfield yang kerap disajikan di mana-mana portal motor dan juga platform media sosial.
Antara motor modifikasi Royal Enfield yang berjaya mencuri tumpuan peminat motor adalah hasil kerja tangan xLnc Customs, sebuah kedai yang dimilik oleh dua adik beradik. Ikvinder dan Amrik Singh Devgun. Menurut pasangan adik-beradik ini, motosikal ini merupakan projek sedia ada tetapi dikemaskini kepada low ride bike dengan motif untuk menghasilkan sesuatu yang lain dari lain.
Beberapa ciri penambahan telah dipasangkan ke atas motor ini termasuk tangki kustom, brek dan gear kustom, tempat letak kaki kustom, bar cermin belakang, pemegang bar Raisers, lampu depan dan lampu belakang LED serta plat nombor sisi juga penapis udara K&N untuk prestasi lebih baik. Tayar pula digantikan dengan DIABLO™ ROSSO II. Motor ini telah disalut dengan cat matte black dengan krom metal di beberapa bahagian. Semuanya dibuat sendiri dan tiada satu pun dibeli dari pasaran.
Selain itu, beberapa perubahan lain termasuk lengan ayun panjang yang menambahkan wheelbase turut dipasangkan. Dengan bahagian yang lebih luas, ia dapat menampung tayar belakang yang lebih besar. Bukan itu sahaja, semua panel badan telah digantikan dengan set yang lebih tajam bergaya. Secara keseluruhannya, modifikasi membuatkan motor Royal Enfield ini lebih anggun cuma tidak pasti samada ia masih sah digunakan di atas jalan raya.
Sumber : Indianautosblog.com