Ketika tampil pada pelancaran dengan trio model berkapasiti 150cc, ramai yang memberi tumpuan kepada Raider 150cc, jentera kapcai yang ‘diviralkan’ antara paling berkuasa dan bakal diminati ramai oleh peminat motosikal tanahair. Namun tidak dilupakan juga GSX S150 juga adalah tarikan terbaharu dari tiga kembar tidak seiras dalam segmen enjin berkuasa 150cc.
Jentera tanpa fairing atau kerap tampil dalam segmen ‘naked’ merupakan buah tangan terbaharu Suzuki Malaysia di pasaran tempatan. Meneruskan legasi ‘abangnya’ GSX S1000, model GSX S150 masih mengekalkan ciri-ciri terdahulu seperti rekaan yang tajam dan aerodinamik yang menjadi salah satu tarikan anak-anak muda satu ketika dahulu.
Penulis diberi kesempatan menunggang uji model ini oleh Suzuki Malaysia. Biarpun sebelum ini, pengamal media pernah diberi peluang menguji pada sesi Ramadan yang lepas, namun kali ini penulis dan juga wartawan permotoran diberi kesempatan lebih lama untuk menguji jentera ini.
Selama tiga hari diberi kesempatan, apa yang penulis dapat simpulkan kepuasan untuk memulas ‘throttle’ model yang satu ketika pernah gah di negara jiran, Indonesia. Malah, jentera naked terbaharu dari Suzuki agak berbeza dari penampilan terdahulu.
Sekali pun GSX-S150 menggunakan enjin 150cc yang sama dengan silinder tunggal dan sistem penyejukan cecair, ia masih mampu menghasilkan kuasa mencecah 18.9hp pada 10,500 rpm dan tork 14.0 Nm pada 9,000rpm.
Walaupun dari segi saiz ia agak ‘besar’ melebihi dari segmen kapcai sedia ada, kuasanya tidak pernah berkurang. Ketika mengharungi kesesakan pagi, GSX-S150 masih berupaya untuk mencelah dengan mudah dalam tunggangan santai. Hal ini mungkin disebabkan bar hendal yang agak selesa.
Ia mudah untuk dikendalikan dengan posisi tunggangan jelas tidak membebankan penulis sewaktu beraksi di atas jalan raya yang sesak. Malah kuasa enjinnya juga turut membantu penulis keluar dari kesesakan dengan mudah. Jika anda mengharapkan sebuah jentera pelbagai guna, GSX-S150 juga mampu untuk membawa anda pada destinasi sederhana.
Secara jujur, jentera berkapasiti sebegini bagi pengalaman penulis tidak sesuai untuk perjalanan yang agak jauh. Namun, jika anda boleh menggunakan jentera ini untuk kegunaan jarak jauh, pastikan anda bersedia dari segi stamina. Ya, agak memenatkan tapi kekurangan ini mungkin sedikit berkurangan kerana GSX-S150 memiliki tangki minyak 11 liter atau RM22 untuk satu pengisian.
Penulis tertarik dengan paparan meter yang dibekalkan oleh Suzuki. Selain pelbagai info asas yang sering digunakan kebanyakan pemilik motosikal, beberapa informasi lain jelas menjadi daya tarikan kepada model ini. Selain paparan kelajuan, odo meter (terdapat dua trip diberikan), info kapasiti minyak, rpm dan pelbagai info asas dalam sebuah panel meter, menarik terhadap model Suzuki ini adalah paparan waktu yang disifatkan penulis amat wajar di waktu ini.
Bagi makluman pembaca, GSX-S150 menggunakan transmisi enam kelajuan dan sekali pun ia hadir tanpa sistem pemberhentian ABS ia dilengkapi kecekapan sistem brek cakera bersaiz 290mm di depan dan 187mm di belakang untuk memberhentikan jentera seberat 133kg ini.
Untuk suspensi, GSX-150 didatangkan dengan fork teleskopik serta monoshock di belakang, sementara brek pula kedua-dua bahagian adalah sistem cakera, dengan angkup dua piston di hadapan. Rim bersaiz 17 inci, dibalut tayar 90/80 di hadapan dan 130/70 di belakang. Melengkapkan lagi model ini adalah lampu depan dan belakang yang agak ranggi. Lampu di bahagian depan adalah dari jenis LED dan seperti kebanyakan jentera model ketika ini, ia dilengkapi dengan sistem pemula enjin jenis elektrik.
Walaupun dilihat agak tinggi menyamai model Suzuki sebelum ini seperti FXR 150, GSX-S150 agak ‘slim’ berbanding model FXR. Begitu juga dengan kekurangan lain seperti pelana yang agak keras, tidak memberi perspektif yang terlalu negatif bagi model ini.
Ia dibantu dengan elemen positif lain seperti sistem kemasukan tanpa kunci, paparan kluster instrumen LCD penuh, paparan informasi penting seperti kedudukan gear, notifikasi servis penyelenggaraan, trip perjalanan, penggunaan bahan api dan sebagainya yang memudahkan pemiliknya.
Suzuki GSX-S150 hadir dengan dua warna dan grafik menarik seperti Aura Yellow/Pearl Brilliant White atau Metallic Triton Blue. Hanya pandangan dan berdasarkan kepada kaca mata penulis, warna Biru agak sesuai dan sedap mata memandang. Namun segalanya terpulang kepada pembaca dan bakal pembeli, samada warna Biru atau Putih kerana ia agak subjektif dan mengikut selera masing-masing.
Jika anda rasakan Suzuki GSX-S150 dekat di hati anda, fikirkan dulu mengenai tawaran harga yang diberikan. Harga bagi seunit GSX-S150 masih relevan dan ia hadir dengan tag harga RM 10,289 tanpa perlindungan insuran, cukai jalan dan juga caj-caj lain.
Spesifikasi
Enjin : 147cc
Kapasiti Tangki Minyak : 11liter
Jenis Enjin : Silinder Tunggal, 4-Lejang, 4-Valve, Penyejukan Cecair, DOHC Enjin
Jenis Suntikan : Suntikan Bahan Api
Paip Ekzos : Ekzos Tunggal
Bore x Stroke : 62mm x 48.8mm
Konfigurasi Injap : DOHC
Bil Silinder : 1
Jenis Pancuan : Pancuan Rantai
Nisbah Mampatan : 11.5:1
Jenis Klac : Basah, Plate Serbaguna
Sistem Penyejuk : Penyejukan Cecair