Harley-Davidson Sportster S serba baharu telah dilancarkan hari ini. Model Sportster merupakan motosikal cruiser yang lebih “sporty” di kalangan banjaran motosikal keluaran Amerika Syarikat itu. Ia sesuai untuk penunggang baharu sehinggalah kepada mereka yang mahukan model yang lebih ringan dan senang dikendalikan.
Model Sportster S yang baharu ini mempunyai berbagai ciri yang lebih menarik, apatah lagi dengan penggunaan enjin Revolution Max 1250T yang baharu.
Antara ciri-cirinya:
- Enjin Revolution Max 1250T dengan 1252cc, penyejukkan cecair, dua aci engkol di atas injap (DOHC) serta penalaan injap yang boleh ubah (variable valve timing)
- Enjin ini menghasilkan kuasa maksima sebanyak 120 hp dan tork maksima sebanyak 127.5 Nm
- Ekzos paras tinggi gaya “flat tracker”
- Meter dengan skrin TFT 4-inci
- Pautan Bluetooh serta penunjuk arah
- ABS serta sistem kawalan cengkaman (traction control) yang dioptimasikan untuk selekoh
- 3 mod enjin serta kawalan sistem kawalan cengkaman iaitu Sport, Road, Rain
- Lampu-lampu LED
- Suspensi boleh ubah
- Kawalan jelajah (cruise control)
- Keberatan sedia ditunggang 227 kg
Sportster Alaf Baru
Jelas sekali bahawa model Sportster S yang baharu membawa perubahan yang menyeluruh. Pertama sekali, enjin Revolution yang diadaptasi daripada model jenis kembara Pan America 1250 menggantikan enjin Sportster Evolution V-Twin 45 darjah yang digunakan sejak 1986 lagi. Enjin Evolution untuk Sporter pula diadaptasi daripada enjin Model “K” sejak 1972.
Enjin Evolution menggunakan rod penolak untuk injap-injap enjinnya dengan aci engkolnya diletakkan di bahagian bawah enjin. Selain daripada itu, enjin lama ini menggunakan penyejukan udara.
Sebaliknya pengganti ini menggunakan dua aci engkol di atas injap (dual overhead camshaft – DOHC). Penalaan masa injap-injap itu pula boleh diubah-ubah mengikut kehendak prestasi enjin pada mana-mana masa (variable valve timing). Juga, perubahan yang besar merupakan sistem penyejukan jenis cecair. Tambahan lagi, enjin Revolution telah diubah kepada V-Twin 60 darjah agar lebih lancar serta pengurangan gegaran.
Walaupun model ini nampak lebih besar daripada model lama, ia sebenarnya lebih ringan dengan penggunaan cesi yang baharu. Harley-Davidson berkata bahawa cesi serta suspensi baharu akan memberikan pengendalian yang lebih tangkas. Ini merupakan satu berita baik kerana model-model Harley sebelum dikatakan tidak begitu lincah.
Harga
Model Harley-Davidson Sportster S dijual di Amerika Syarikat dengan harga di antara USD 14,999 (RM 62,883.31) hingga USD 15,349 (RM 64,350.68) mengikut warna. Apapun, harga akan lebih tinggi apabila sampai di Malaysia nanti. Model ini akan dijual bersama Sporster standard yang lama.