Sekali pandang Honda CB500F versi naked dengan rekaan moden bersama ekzos dan tayar yang lebar, anda pasti menyangka ia sama saiz seperti kebanyakan motosikal berkuasa tinggi. Sebenarnya ia hanya besar sedikit daripada motosikal 250cc. Tangkinya juga tidak terlalu lebar.
Saiz itu membuatkan CB500F mudah dikawal dalam apa jua keadaan. Dalam trafik yang sesak, saya dapati, selagi motosikal kapcai mempunyai ruang untuk lalu, pasti ia juga boleh melepasinya. Cuma, cermin sisi asal yang sedikit besar ada masanya memerlukan lebih perhatian supaya tidak berlaga dengan cermin sisi kereta.
Pada masa ini juga didapati penunggang tidak akan terseksa sekiranya terpaksa menukar gear dengan kerap untuk mengerah kuasa daripada enjin 471cc dua silinder yang digunakan pada CB500F. Ini kerana bahagian klac, gear dan brek semuanya mudah digunakan tanpa memerlukan tenaga berlebihan.
Selain itu, bar pemegang yang tinggi juga membantu kedudukan lebih selesa kerana ia mudah dicapai. Aspek ini banyak membantu bukan hanya semasa di bandar malah untuk perjalanan yang lebih jauh. Dalam tempoh tiga hari, saya mencatat jarak hampir 700 kilometer dengan motosikal ini. Apa yang boleh dikatakan, sukar untuk membiarkan motosikal ini tidak bergerak kerana ia agak selesa. Apatah lagi, jika saya menaikinya dengan seorang pembonceng.
Selesa yang dimaksudkan tidak hanya terhad pada kedudukan dan postur badan. Malah penyampaian kuasa bersesuaian yang memudahkan tunggangan sama ada menaiki bukit, memotong atau meluncur santai di atas lebuh raya. Sewaktu menyusuri jalan yang berliku pula, CB500F tetap meyakinkan untuk berseronok. Tayar bersaiz 120/70R17 di hadapan dan 160/60R17 di belakang memberi cukup cengkaman pada kelajuan yang bersesuaian dan selamat.
Jentera ini juga membuatkan mana-mana penunggang tidak perlu risau sekiranya terlebih memulas pendikit minyak ketika hendak keluar dari selekoh. Pendikitnya tidak terlalu agresif dan kuasa yang disampaikan juga lancar. Bagi mereka yang tidak begitu mendambakan kelajuan maksimum atau tunggangan agresif, motosikal ini amat bersesuaian. Anda tidak memerlukan kuasa yang lebih daripada 500cc dengan adanya motosikal seperti CB500F ini.
Walaupun hanya bersesaran 500cc, anda boleh mencecah kelajuan sehingga 170 kilometer sejam (km/j) sekiranya jalan terbuka luas. Kelajuan santai yang selesa pula adalah sekitar 140km/j. Ini sudah lebih daripada mencukupi. Bagi pengguna yang memerlukan lebih ciri keselamatan, pilihan yang lengkap dengan brek ABS untuk model ini turut ditawarkan.
Honda CB500F
Spesifikasi
Enjin : 471cc, dua silinder selari, penyejukan cecair, sistem bahan api PGM-FI
Transmisi : Enam kelajuan, klac basah multi, pacuan rantai
Kuasa maksimum : 47hp @ 8,500rpm
Tork maksimum : 43Nm @ 7,000rpm
Brek : Cakera tunggal beralun 320mm, dua piston (hadapan), cakera tunggal beralun 240mm, angkup tunggal (belakang), ABS dua saluran
Berat : 190kg
Kapasiti tangki : 15.3 liter
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 3