Lebih Kurang 3 Jam, Perjalanan Santai Dan Menyeronokkan!

Kembali ke asal. Ya, sedar atau tidak, kehidupan seharian kita perlahan-lahan kembali kepada keadaan sediakala. Sudah ramai yang menganjurkan program dan aktiviti di hujung minggu. Ada yang melakukan riadah berjogging bersama keluarga dan berbasikal dengan rakan-rakan. Tidak ketinggalan, kelab-kelab motor juga sudah memanaskan enjin dan menghangatkan jalan-jalan utama di seluruh Malaysia.

Antara yang mengambil peluang ini berhimpun di hujung minggu ialah geng-geng motor di Ipoh. Diketuai oleh saudara Zul atau mesra disapa sebagai abang Zul, sebanyak 38 buah motosikal Power Valve (PV) telah berkonvoi ke Ban Pecah yang terletak di Taiping.

Walaupun tujuan asalnya hanya untuk menjamu selera dan menikmati mee udang galah yang segar, program ini secara tidak langsung memberikan peluang untuk kembali berhimpun dan merapatkan kembali ikatan persahabatan dan beramah mesra. Peluang ini juga digunakan sebaiknya dengan berkongsi pengalaman tentang dunia motosikal.

Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 3 jam seakan tidak terasa kerana para peserta memilih untuk bersantai dan menikmati penunggangan yang menyeronokkan. Semoga lebih banyak aktiviti yang diadakan di masa-masa akan datang!

Perkongsian : Fuad