Bertempat di Kompleks Sukan Balik Pulau Pinang telah berlangsungnya Balik Pulau Bike Week pada 3 Julai lalu. Dianjurkan buat kali pertama oleh Sham Dyno Veste Garage (DVG), acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari penggiat dan juga peminat dunia dua roda.
Setelah dua tahun menyepi tanpa sebarang aktiviti permotoran di Pulau Pinang, Balik Pulau Bike Week seakan menghidupkan kembali sekali gus memeriahkan kembali persada dunia dua roda di sini. Namun, ia mustahil dapat dianjurkan dengan jayanya tanpa sokongan dan bantuan dari NGO, pihak Badan Berkanun serta pihak swasta dan juga barisan penaja.
Antara penaja yang terlibat dalam menjayakan acara yang pertama kali diadakan ini termasuk 79 Store, Wahan Auto Part, MT Pojie, JSM Racing, Pauh Moto Permatang Pauh, HP SP Nasty Port Flow, SD Permai Auto, W&D Moto, DFZ Agency Sdn. Bhd., JMG Event, Toya Racing Motorcraft, Alon PYMC, Pro Apparel, Koyoko dan Hypertech.
Balik Pulau Bike Week ini telah dimulakan seawal pukul 9.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 7.00 malam dengan pelbagai aktiviti yang disediakan pihak penganjur. Antara yang mendapat perhatian para pengunjung yang hadir termasuk pameran dan jualan dari pihak swasta dan juga badan kerajaan.
Para pengunjung berpeluang berurusan dengan JPJ yang menyediakan kaunter van bergerak untuk urusan pembayaran dan pemeriksaan kenderaan yang melebihi 3 tahun. Selain itu, pihak JPAM dan JKP Penang juga turut mengambil bahagian.
Tidak meriah tapak acara Bike Week tanpa jualan barang-barang motosikal dan baju kenangan buat pengunjung yang datang, begitu juga dengan Bike Weel Balik Pulau 2022 ini. Tapak acara bertambah meriah dengan pertandingan Motosikal Tercantik yang berjaya menerima hampir 100 penyertaan.
Walaupun dianjurkan buat julung kalinya, namun sambutan yang diterima dari para peminat dua roda seluruh Malaysia khususnya penduduk setempat amat menggalakkan. Dijangka hampir 10,000 pengunjung telah hadir membanjiri Balik Pulau Bike Week 2022 ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar. Para pengunjung dan peserta menanti sehingga acara kemuncak iaitu Cabutan Bertuah yang menawarkan 2 buah motosikal, Yamaha Y16 dan Yamaha RXZ yang menjadi milik dua pengunjung bertuah, kedua-duanya dari Pulau Pinang!
Bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad yang turut merasmikan majlis penutup Balik Pulau Bike Week 2022. Acara berakhir sekitar pukul 7.00 malam. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan acara ini. Semoga bertemu lagi di Balik Pulau Bike Week 2.0 yang akan datang!