Sejak tahun 2005, media Italia Motociclismo menganjurkan pertandingan Motosikal Paling Cantik di EICMA. Para pengunjung dan juga pembaca berpeluang membuat undian sepanjang empat hari berlangsungnya acara ini.
Pada tahun ini, Superveloce Ago edisi istimewa dari MV Agusta telah dipilih sebagai pemenang dengan undian diperoleh sebanyak 47.2%, meninggalkan jauh pesaing terdekatnya yang hanya mampu memperoleh 19.4% dan diikuti Moto Morini X-Cape yang hanya memungut 7.9% undian.
Setelah 16 tahun Motociclismo menganjurkan pertandingan ini, hanya Ducati dan MV Agusta yang muncul sebagai pemenang Motosikal Paling Cantik. MV memenangi gelaran ini kali pertama ia dianjurkan pada tahun 2005 menerusi Brutale 910 R dan merampas semula gelaran pada tahun 2007 dengan Brutale 1078RR serta muncul pemenang kali ketiga dengan F3 pada tahun 2010. Pada 2012, Rivale 800 mengatasi motor-motor lain dan Brutale 1000 Serio Oro membawa kemenangan kali kelima.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Timur Sardarov, penghargaan ini membuktikan bahawa kerja-kerja keras yang didedikasikan oleh setiap warga MV Agusta untuk membangunkan hanya produk yang terbaik. Memenangi pertandingan ini buat kali keenam memberikan kepuasan kepada setiap yang terlibat. Kemenangan ini juga didedikasikan untuk setiap pekerja yang membanting tulang setiap hari.
Hadir menerima hadiah kemenangan ini ialah Pereka Senior MV Agusta Alessandro Malaspina, Pengarah Pemasaran Filippo Bassolini, Ketua Pegawai Eksekutif Timur Sardarov dan juara dunia sebanyak 15 kali, Giacomo Agostini. Diharapkan, MV akan terus mengeluarkan motosikal yang cantik dan membawa pulang tropi untuk Motosikal Paling Cantik EICMA untuk tahun 2022.
Sumber : Rideapart / MV Agusta