Bertempat di Litar Sungai Buaya, berlangsungnya kejuaraan KTM Orange Enduro pusingan ketiga yang juga merupakan pusingan terakhir sekali gus menutup tirai tahun 2018. Diadakan pada 18 November lalu, sebanyak 3 pusingan telah diadakan sepanjang tahun 2018. Namun begitu, sambutan untuk pusingan kali ketiga ini menerima sambutan amat memberangsangkan serta kian meningkat dan mencatatkan penyertaan hampir 200 orang peserta.
Berbanding kejuaraan yang sedia ada, KTM Orange Enduro anjuran KTM ini menampilkan kelainan menerusi kategori kadet yang diperkenalkan khusus untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. Walaupun baru diperkenalkan, sambutan yang diterima untuk kategori ini amat luar biasa. Selain itu, beberapa kategori lain turut dipertandingkan termasuk kategori Terbuka, KTM Terbuka, Veteran, CKD, Cubcross, DP Rally, Enduro Wanita dan Selebriti.
Sebanyak 15 orang peserta wanita telah menyahut cabaran dan mempamerkan aksi cemerlang. Kehadiran barisan artis bukan sahaja menyerikan dan menyemarakkan lagi litar Sungai Buaya, malah masing-masing memberikan saingan yang hebat. Antara barisan artis yang turut menyertai pusingan ketiga ini adalah kumpulan lawak Putih, pelawak Achey dari kumpulan Bocey, Fizo Omar, Riz Amin, Adi Fashla dan ramai lagi.