Masjid Abdullah Fahim (MAF) dengan kerjasama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab telah menganjurkan Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-67 yang bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.” Acara ini memperlihatkan penyertaan istimewa daripada Kelab Motosikal Northern Versys Owners Group (NVOG & Friends) yang diberi kepercayaan untuk memimpin konvoi bersama kariah masjid menuju ke Dewan Besar MRSM Ulul Albab, Kepala Batas.
Sebanyak 55 buah motosikal menyertai konvoi ini, yang bermula dari Masjid Abdullah Fahim dan mengambil jarak sejauh 3.3 kilometer. Konvoi yang memulakan perjalanan tepat jam 7.10 malam itu disambut meriah oleh ratusan pelajar MRSM yang telah bersedia menunggu ketibaan mereka. Setibanya di Dewan Besar, acara diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat sunat hajat dan bacaan surah Yassin serta doa selamat untuk kesejahteraan negara.
Majlis diteruskan dengan pelbagai persembahan, termasuk tayangan filem patriotik “Bukit Kepong,” persembahan silat oleh pelajar, dan deklamasi sajak yang berjaya memupuk semangat patriotisme di kalangan hadirin. Detik kemuncak acara adalah ketika 16 pelajar MRSM yang membawa bendera setiap negeri di Malaysia berarak bersama deruman motosikal berkuasa tinggi menuju ke Dewan Besar untuk menyambut detik 12 tengah malam.
Suasana semakin meriah apabila lagu Warisan dan Jalur Gemilang dinyanyikan beramai-ramai sebelum hitungan detik kemerdekaan dilakukan. Laungan “MERDEKA” bergema di dalam dewan, diakhiri dengan nyanyian Lagu Negaraku yang penuh semangat, menandakan permulaan Hari Kemerdekaan Ke-67.
Penyertaan bikers NVOG & Friends dalam program ini bukan sahaja berjaya memeriahkan sambutan tetapi juga mampu mengubah tanggapan masyarakat terhadap komuniti bikers. Program ini turut memberi kesan positif kepada para pelajar, memupuk semangat cintakan negara serta menerapkan nilai-nilai murni yang sejajar dengan tema sambutan, “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.”