Sebanyak 50 buah motosikal telah terlibat dalam program Konvoi Muhibbah Republic Of Skyline (ROSE) yang diadakan pada 16 Ogos lalu. Program yang dianjurkan ini merupakan sebahagian aktiviti bulanan yang dirancang dengan pelbagai aktiviti menarik. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi ruang kepada ahli-ahli saling berkenalan dengan lebih mesra dan mengeratkan tali persaudaraan.
Konvoi bergerak dari tol Bukit Merah dan telah dilepaskan oleh ADUN Selinsing, Mohamad Noor Dawoo menuju ke Kuala Gula di mana destinasinya di Kuala Gula Sanctuary Resort. Setelah selesai bersarapan pagi yang ditaja ADUN Selinsing dan sesi bergambar, para peserta menyambung semula perjalanan menuju ke Ban Pecah untuk satu lagi sesi bergambar sambil menikmati panorama indah yang menjadi tumpuan setiap hari cuti.
Setelah selesai segala aktiviti yang dijalankan, para peserta bergerak pula ke Pelangi Ban Pecah Homestay Kuala Kurau untuk makan tengah hari. Acara berakhir dengan majlis suai kenal serta sembang santai diikuti aturcara potong kek untuk ahli-ahli yang menyambut ulang tahun kelahiran pada tarikh tersebut.
Tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak PDRM, ADUN Selinsing, Kuala Gula Sanctuary Resort dan Pelangi Ban Pecah Homestay yang terlibat sepanjang berlangsungnya program ini.
Disediakan oleh : Pak Art