Seramai 7 orang peserta telah menyertai program lasak Jelajah Bromo, Indonesia yang berlangsung pada 16 Julai sehingga 20 Julai 2018. Jelajah ini dianjurkan Malaysia Prison Bikers (MPB) dari Jabatan Penjara Malaysia yang diketuai oleh DSP Ahmad Zakuwan Bin Elahi (Ibu Pejabat Penjara Malaysia) sebagai Kapten Konvoi dan disertai 6 orang peserta lain iaitu C/Insp Noorshahrizan bin Johar (Ibu Pejabat Penjara Malaysia), Sjn Ramlee bin Haris (Penjara Kajang), Sjn Muhamad Nazri bin Abdul Azis (Penjara Kajang), En Muhammad Khairil Fahmy bin Abdul Hadi (Ibu Pejabat JKR Wilayah), Kpl Shafiq Hakeem bin Muzaimi (Penjara Kajang) dan Kpl Wan Muhammad Amiruddin bin Wan Zakaria (Penjara Kajang).
Bagi tujuan program ini, jentera tunggangan dari jenama Honda model CRF 150 yang disediakan oleh Moto East Java Rental KLX CRF Offroad Malang telah disewa khas. Konvoi ini turut mendapat sokongan serta sumbangan dari Kelab Ibu Pejabat Penjara Malaysia (KIPP), Malaysia Prison Bikers, Tabuan Motor Plt, FMC Global Resources, Chef Bob, Transport Elite Team. Rakan Media dan Majalah Rasmi adalah Roadstar Magazine. Turut mendapat sokongan dari Y.Bhg Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Sri Hj Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia dan Y.Bhg Komisioner Penjara Dato’ Hj Abdul Aziz bin Abdul Razak, Timbalan Ketua Pengarah (Pemasyarakatan).
Perjalanan dari Surabaya di Jawa Timur, Indonesia ke garaj Moto East Java Rental KLX CFR Offroad Malang yang terletak di daerah Malang mengambil masa hampir 6 jam dari Lapangan Terbang Surabaya. Sebuah kenderaan dikenali dengan nama Kijang (kalau di Malaysia Toyota Innova) disewa bersama pemandu bagi tujuan membawa para peserta ke destinasi yang ditujui. Lazimnya, kebanyakan pelancong akan menggunakan jip untuk menjelajah taman nasional itu terutamanya jika hendak ke Gunung Bromo yang terletak kira-kira 53 kilometer dari Malang.
Para peserta tiba di garaj Moto East Java Rental KLX CFR Offroad Malang pada jam lebih kurang 10.00 malam dan disambut oleh saudara Upih (nama samaran), jurupandu yang bertugas untuk membawa konvoi menjelajah ke Bromo. Kemudian, para peserta diberi mencuba peralatan seperti pelindung lutut, lengan, sarung tangan dan topi keledar, baju dan juga GoPro bagi memudahkan pergerakan sepanjang program berlangsung.
Keesokannya, para peserta diberi penerangan oleh pemandu arah cara-cara untuk mengendalikan motosikal, penggunaan gear yang betul ketika mendaki laluan yang sukar dan penerangan berkaitan ciri-ciri keselamatan yang perlu diambil berat serta keadaan permukaan jalan dan faktor mukabumi di kawasan tersebut. Awalnya, perjalanan melalui jalan raya biasa yang diikuti laluan trek hutan dan offroad. Keadaan jalan semakin mengecil dan curam memaksa para peserta mengikut arahan jurupandu untuk menggunakan gear satu dan dua ketika mendaki. Sewaktu menunggang, para peserta perlu berhati-hati kerana kemungkinan bertembung dengan jip yang turut membawa pelancong menuju ke destinasi yang sama.
Jika dilihat dari Pananjakan yang juga merupakan puncak gunung tertinggi di lokasi itu adalah Gunung Semeru yang berketinggian 3,676 meter (m) dari aras laut. Manakala paling hadapan dikenali sebagai Gunung Batok (2,400m). Antara Semeru dan Batok terdapat Gunung Bromo, Gunung Widodaren serta Gunung Watangan yang lebih rendah. Semasa menuju ke Gunung Bromo, para peserta konvoi perlu melalui kawasan savana ataupun padang pasir. Mengawal motosikal di jalan berpasir bukan sesuatu yang mudah kerana boleh menyebabkan motosikal hilang kawalan. Seterusnya, para peserta meletakkan motosikal masing-masing dan merentasi kawasan padang pasir hitam dengan berjalan kaki mendaki anak tangga menuju ke kawasan puncak kawah gunung berapi. Para peserta berjaya tiba ke puncak Gunung Bromo dan berasa amat puas hati apabila melihat sendiri bagaimana asap putih tebal keluar dari kawah tersebut dengan pemandangan yang cukup menakjubkan apabila dilihat dari jauh.
Setelah hampir 30 minit berada di puncak Gunung Bromo, para peserta mula turun dan meneruskan perjalanan ke Padang Savana Bromo, satu kawasan yang mempunyai hamparan padang rumput yang sangat luas sebelah selatan Gunung Bromo.
Kesimpulannya, menunggang dan mengawal motosikal di laluan yang sukar bukan sesuatu yang mudah. Para peserta perlu lebih berhati-hati untuk mengelak dari berlakunya perkara yang tidak diingini. Namun begitu, masih berlaku insiden kemalangan kecil yang tidak melibatkan sebarang kecederaan serius ekoran trek laluan yang begitu ekstrem. Pengalaman ini tidak dapat dilupakan selain memberi pendedahan kepada para peserta berkaitan teknik-teknik mengendalikan motosikal offroad dengan cara yang betul dan selamat.
Konvoi mencapai misi dengan jayanya tanpa sebarang masalah atau kejadian tidak diingini. Kini, mereka merancang untuk mengadakan siri endurance ride yang lebih mencabar dan dijangka ke Kathmandu (Nepal) pada masa akan datang.
Sumber : Abdul Salam