Minat dan hasrat untuk memiliki CBR1000RR Fireblade telah terpendam lama. Akhirnya, saudara Muhammad Iskandar Pathi membeli model yang didatangkan khas dari Jepun ini dan didaftarkan pada tahun 2018. Bertugas sebagai sebagai seorang pengarah syarikat yang juga pemilik Pusat Service Mini EZS Service Centre di Ipoh, Perak, beliau sangat meminati motosikal berkuasa tinggi.
Mungkin tidak ramai yang kenal tetapi bagi peminat drift, beliau dikenali sebagai seorang pelumba kereta dan juga drifter di Malaysia. Boleh dikatakan aktiviti hujung minggu beliau dipenuhi dengan program berkaitan dunia permotoran 4 dan 2 roda. Sebagai peminat dunia permotoran, seperti mana beliau memilih jentera terbaik untuk perlumbaan drift, begitu juga citarasanya terhadap jentera 2 roda.
Menurut Muhammad Iskandar, beliau mencari tunggangan yang bukan sahaja menarik, malah selesa, ekonomi dan paling penting memberi kepuasan semasa memerah throttle. Kuasa dihasilkan CBR1000RR Fireblade ini bertepatan dan secocok dengan kehendak beliau. Respon yang diberikan juga menepati kehendak. Selain itu, beberapa bahagian telah ditukar bagi memastikan kuasa dan ciri-ciri keselamatan sentiasa berada di tahap memuaskan.
Antara perkara yang awal dilakukan sebaik sahaja motosikal ini sampai ke tangan, beliau telah membawa CBR1000RR Fireblad ini ke Bukit Beruntung untuk dijampi sedikit oleh saudara Lan Dholy. Selain itu, corner weight balancing juga telah dilakukan di sana. Bagi jentera yang agak berat berbanding model lain, CBR 1000RR Fireblade ini mempunyai karekter yang tersendiri dan berbeza dengan superbike yang lain.
Setelah ditala dan diberi set up yang diingini, saudara Muhammad Iskandar berpuas hati dan kini telah menunggang lebih daripada yang beliau sangkakan. Kalau sebelum ini, hujung minggu aje tekan pedal kereta, sekarang dah ada motor!
Bagi makluman anda, Pusat Service Mini EZS Service Centre juga merupakan pemilik sebuah Dyno Centre. Sekiranya ingin melakukan imbasan Dyno dan sebagainya, anda boleh berkunjung ke pusat servis beliau. Jika anda seorang pemilik Mini Cooper, ianya satu kelebihan!