Boon Siew Honda secara rasmi memperkenalkan Honda ADV160 Trico Edition bagi pasaran tempatan pada harga RM14,149.00, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Varian terbaharu ini tampil lebih menyerlah menerusi gabungan warna ikonik perlumbaan Honda iaitu merah, putih dan biru. Hadir dengan corak warna baharu ini, edisi Trico dijual RM500 lebih mahal berbanding model standard ADV160 RoadSync (RM13,649.00). Tanda harga RM14,149 ini juga adalah sama dengan satu lagi varian edisi khas yang pernah dilancarkan sebelum ini, iaitu ADV160 Spiderman Edition.

Model edisi Trico ini dibina berasaskan varian ADV160 yang dilengkapi ciri Honda RoadSync, bagi melengkapi penawaran warna sedia ada iaitu Matte Grey dan Brown. Walaupun tampil dengan kemasan luaran baharu, tiada
sebarang perubahan dilakukan pada bahagian mekanikal. Varian ini mengekalkan keseluruhan kelengkapan serta spesifikasi teknikal yang sama seperti model standard RoadSync.
Sistem jentera skuter ini terus dijana oleh enjin eSP+ 156.9 cc sejatan cecair, silinder tunggal dengan empat injap. Enjin ini berupaya menghasil pemacu kuasa sebanyak 16 PS pada 8,500 rpm dan tork puncak 14.7 Nm pada 6,500 rpm. Penyaluran bahan api dikawal oleh sistem PGM FI Honda, manakala kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik V Matic yang turut digandingkan bersama ciri Idling Stop System.

Bagi aspek pengendalian, Honda ADV160 menggunakan rim berukuran 14 inci di bahagian hadapan dan 13 inci di bahagian belakang, masing masing dibalut tayar saiz 110/80 dan 130/70. Tugasan penyerap hentak disempurnakan oleh cangkuk teleskopik di hadapan serta penyerap hentak berkembar Showa bersama tabung simpanan bendalir di belakang.
Sistem brek pula menggunakan cakera hidraulik di kedua dua bahagian roda berserta sokongan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) pada roda skuter pengembaraan ini direka dengan ketinggian tempat duduk 780 mm, jarak kelegaan tanah 165 mm, serta jarak roda sepanjang 1,324 mm. Selain mempunyai berat basah sekitar 133 kg, jentera ini turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 8.1 liter yang sesuai untuk pemanduan harian mahupun jarak jauh.

Lengkapan ciri moden lain merangkumi panel instrumen TFT 5 inci dengan sambungan telefon pintar Honda RoadSync. Antara kemudahan serta kawalan tunggangan lain yang turut disediakan termasuklah Kawalan Tork Boleh Pilih Honda (HSTC), sistem kunci pintar Smart Key, lampu LED penuh, soket p engecas USB Type C, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta ruang penyimpanan di bawah tempat duduk berkapasiti 30 liter.























