Mendambakan pengalaman pengembaraan yang luar biasa, para penunggang dari NVOG Adventure sekali lagi mengadakan misi menakluk salah satu laluan paling epik di dunia iaitu Karakoram di Pakistan. Dinamakan sebagai “NVOG Adventure: Episode Karakoram II 2024, program ini disertai seramai 17 peserta menyusuri laluan pergunungan yang indah tetapi mencabar melibatkan perjalanan sejauh 1,145km.
Laluan ini merangkumi lokasi terkenal seperti Skardu, Deosai, Astore, Gilgit, Duiker, Hunza, Passu, Sost, sehingga Khunjerab Pass Border China-Pakistan, memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka keindahan alam yang jarang dilalui menyusuri laluan Sutera “Silk Road” Lebuh Raya Karakoram. Pengembaraan selama 12 hari ini menguji daya ketahanan fizikal serta mental individu.
Setiap hari jadual perjalanan direncanakan dengan terperinci kerana melibatkan perjalanan bermotosikal yang penuh cabaran melalui beberapa kawasan pergunungan tertinggi di dunia. Bermula dari Kuala Lumpur ke Islamabad, seterusnya ke puncak tertinggi di Pakistan, perjalanan ini adalah kombinasi antara pengembaraan, budaya etnik, dan persahabatan.
Hari Pertama : 26 September 2024 | Kuala Lumpur ke Islamabad
Para peserta NVOG Adventure memulakan perjalanan dari Permatang Pauh menuju laluan Karakoram. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mereka bertolak ke Islamabad dan tiba pada waktu petang. Setibanya di sana, mereka menikmati makan malam di Restoran Tahir Khan (TKR) sebelum berehat di Hotel Redline sebagai persiapan untuk perjalanan esoknya.
Hari Kedua : 27 September 2024 | Islamabad ke Skardu
Pagi berikutnya, para peserta menaiki penerbangan menuju ke Skardu, sebuah bandar pergunungan di utara Pakistan dan juga pintu masuk ke pergunungan tertinggi di dunia. Di Skardu, mereka menikmati pemandangan pergunungan yang menakjubkan, menikmati makan tengah hari di Arcadian Resort, membeli kad SIM tempatan, dan membuat persiapan akhir untuk pengembaraan bermotosikal dengan membeli baju sejuk tambahan. Petang itu, peserta menghabiskan masa dengan tenang dan menyesuaikan diri dengan ketinggian dan udara segar pergunungan sebelum bermalam.
Hari Ketiga : 28 September 2024 | Pengembaraan Bermula ke Deosai National Park
Para peserta memulakan perjalanan motosikal menuju ke Deosai National Park, salah satu dataran tertinggi di dunia. Perjalanan ini penuh dengan pemandangan menakjubkan diikuti laluan berliku-liku dan lasak sepenuhnya. Setibanya di Deosai National Park yang disebut sebagai Tanah Para Gergasi kerana kedudukannya yang terpencil, para peserta meluangkan masa menikmati pemandangan dan merasai keindahan semula jadi yang sukar digambarkan.
Para peserta bermalam di tapak perkhemahan berhampiran untuk menikmati pengalaman luar biasa di bawah langit malam yang dipenuhi bintang. Beberapa ekor beruang liar menghampiri tapak perkhemahan dan mencetuskan suasana agak tegang kerana pertama kali melihatnya haiwan tersebut di depan mata.
Fakta Menarik : Deosai National Park terletak di wilayah barat Himalaya Gilgit Baltistan, Pakistan. Dataran tinggi atau plateau – average elevation pada 4114m dari aras laut ia sebagai “2nd highest plateau” di dunia selepas Tibet. Akses dibenarkan kepada orang awam hanya 3 bulan setahun; Julai, Ogos dan September.
Hari Keempat : 29 September 2024 | Deosai ke Astore
Selepas sarapan pagi di kawasan Deosai, para peserta meneruskan perjalanan ke Astore, sebuah bandar kecil yang terletak di lembah pergunungan. Perjalanan ini menawarkan laluan mencabar dan menakjubkan dengan pemandangan yang memukau sepanjang jalan. Perjalanan hari ini melibatkan kunjungan ke beberapa lokasi menarik termasuk Sheosar Lake, Chilam Chuki, dan Gorikot.
Tiba di Astore pada sebelah petang, peserta meluangkan masa untuk berehat sebelum menikmati makan malam nasi beriani ayam, gulai ayam dan capati di sebuah restoran tempatan dan bermalam di hotel tempatan.
Hai Kelima : 30 September 2024 | Astore ke Gilgit
Pada hari ini, peserta bergerak dari Astore menuju ke Gilgit, sebuah bandar penting di utara Pakistan dan menjadi destinasi popular bagi pengembara yang ingin meneroka di sekitar kawasan pergunungan ini. Perjalanan sejauh 161km ini membawa para peserta menempuhi tiga gunung iaitu pertemuan di antara Himalaya, Karakoram dan Hindu Kush. Sempat singgah di Thalachi “Last Bindry of Chilas of Nanga Prabat”.
Para peserta menginap di Hotel Mandarin Inn dan diberi masa bebas untuk menikmati suasana malam di Gilgit serta melawat pasar malam. Di kesempatan ini, para peserta berpeluang menikmati suasana tempatan yang unik yang terdapat di sini dan menikmati Sate daging “Yak” yang lazat.
Hari Keenam : 1 Oktober 2024 | Keindahan Duiker
Destinasi seterusnya adalah Duiker, atau “Eagle Nest,” yang menawarkan pemandangan menakjubkan Lembah Hunza dari ketinggian. Selepas meninggalkan Gilgit dan singgah di Rakaposhi View Point untuk makan tengah hari dan bersolat, perjalanan diteruskan ke Duiker. Setibanya di sana, para peserta disambut keindahan gunung-ganang bersalji yang menjadikannya lokasi ideal untuk berehat setelah perjalanan mencabar. Peluang digunakan para peserta bergambar dan menunggu matahari terbenam untuk merakam kenangan dengan latar belakang pemandangan yang seakan-akan dilukis.
Hari Ketujuh : 2 Oktober 2024 | Hopper Valley & Passu
Perjalanan diteruskan ke Hopper Valley dan Passu, terkenal dengan ladang buah-buahan dan pemandangan Hopper Glacier. Para peserta membeli seekor kambing dari sumbangan rakan-rakan NVOG & Friends untuk diadakan BBQ di Passu. Selepas makan tengah hari, perjalanan diteruskan melalui “Friendship Tunnel China-Pakistan” sebelum tiba di Attabad Lake untuk menikmati “Boat Ride” yang menarik.
Setelah menjelajahi keindahan Attabad Lake, para peserta bergerak ke Passu dan bergambar di lokasi terkenal, disapa pelancong tempatan yang melihat kehadiran mereka. Di Passu Tourist Lodge (PTL), para peserta bersiap untuk BBQ kambing yang lazat, disediakan oleh chef hotel, sambil meraikan hari kelahiran rakan peserta, saudara Sami Ullah, yang menambah suasana meriah walaupun pada malam sejuk.
Hari Kelapan : 3 Oktober 2024 | Khunjerab Pass
Hari kelapan perjalanan adalah kemuncak yang dinanti-nantikan dengan destinasi Khunjerab Pass, terletak pada ketinggian 4,706 meter di atas paras laut, menjadikannya laluan tertinggi di dunia. Sebelum ke Khunjerab Pass, para peserta singgah di pekan Sost untuk membeli makanan tengah hari. Sost, berfungsi sebagai pusat perdagangan penting di Laluan Sutera Moden, juga merupakan pintu masuk utama ke Khunjerab Pass, di mana terdapat ATM Machine tertinggi di dunia dan sebuah kafe yang menjual minuman panas serta roti.
Setibanya di Khunjerab Pass, suhu mula dirasai di bawah -5 darjah Celsius disertai angin kencang dan pemandangan salji yang memukau. Kesempatan ini digunakan untuk merakam kenangan dengan bergambar di kawasan ikonik ini, yang menjadi idaman ramai pengembara, bikers, dan pendaki. Suasana di sempadan antara Pakistan dan China ini memberikan pengalaman yang unik dan menggembirakan.
Selepas menikmati keindahan di Khunjerab Pass, para peserta mula bergerak turun ke kaki gunung dan singgah untuk solat serta makan tengah hari yang dibeli di Sost. Setelah selesai, para peserta terus ke Passu Tourist Lodge (PTL) untuk berehat dan menyiapkan diri bagi hari-hari seterusnya dalam perjalanan ini.
Hari Kesembilan : 4 Oktober 2024 | Kembali ke Gilgit
Setelah merasai pengalaman di kawasan tertinggi, peserta memulakan perjalanan pulang ke Gilgit melalui Attabad Lake, sebuah tasik buatan yang indah dan terbentuk akibat tanah runtuh pada tahun 2010. Dalam perjalanan, mereka singgah di Hussaini Suspension Bridge, jambatan gantung terpanjang di kawasan itu dan tidak melepaskan peluang untuk menyeberanginya. Para peserta juga menikmati pengalaman sangat menyeronokkan menaiki ziplines merentasi sungai dengan kos yang berpatutan, menambah keseronokan perjalanan dan paling penting puas hati.
Perjalanan diteruskan ke Rakaposhi dan singgah untuk makan tengah hari. Namun, para peserta dimaklumkan tentang penutupan jalan sekitar Hunza-Gilgit akibat aktiviti agama, menyebabkan terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan. Akhirnya, kesemua peserta tiba dengan selamat di hotel penginapan di Gilgit menjelang senja. Perjalanan pulang ini memberikan kenangan indah dan pengalaman yang pastinya tidak dapat dilupakan.
Hari Kesepuluh : 5 Oktober 2024 | Bergerak ke Naran
Setelah bersarapan, para peserta memulakan perjalanan ke Naran, destinasi seterusnya sebelum pulang ke Malaysia. Dalam perjalanan dari Gilgit ke Naran, sempat singgah di beberapa lokasi menarik seperti Babusar Top dan Lulusar Lake. Kemudian, berhenti untuk makan tengah hari di New Moon Restaurant di kaki Gunung Babusar sebelum mendaki ke puncak yang berketinggian 4,173 meter. Hujan salji menyambut para peserta di puncak, dan suhu yang sejuk serta salji yang tebal menyukarkan pemandangan tetapi perjalanan ini memberikan pengalaman yang mustahil dilupakan.
Tiba di Pekan Naran menjelang lewat senja dan mendaftar masuk ke hotel untuk berehat seketika. Setelah itu, para peserta keluar untuk makan malam di restoran berdekatan dan mengunjungi “Night Market Naran” untuk membeli cenderamata bagi saudara mara dan rakan-rakan, menutup hari dengan kenangan manis.
Hari Ke-11 & Ke-12 : 6 Oktober 2024 | Kembali ke Islamabad dan Malaysia
Perjalanan pulang dari Naran ke Islamabad sepatutnya termasuk persinggahan di kedutaan Malaysia tetapi terpaksa dibatalkan akibat “lock-down” di kawasan tersebut disebabkan masalah politik. Pihak kedutaan mencadangkan agar terus ke Islamabad Airport lebih awal, 5-6 jam sebelumnya kerana banyak jalan ke Islamabad ditutup.
Dalam perjalanan, para peserta singgah untuk menikmati ikan trout yang terkenal di daerah Kaghan dengan memesan 9 kilogram untuk hidangan berkumpulan. Ini memberikan kelainan selepas beberapa hari makan kari kambing dan ayam. Setelah makan tengah hari, perjalanan diteruskan ke Islamabad Airport.
Seterusnya singgah di R&R Highway untuk mengadakan majlis perpisahan ringkas bagi mengucapkan terima kasih kepada Himalaya Offroad Explorer saudara Shahidan Mohad juga rakan dari Find Pakistan, saudara Sami Ullah atas misi kali ini yang berjaya membawa 17 penunggang dari NVOG & Friends untuk hadir menikmati keindahan bumi Pakistan dengan selamat tanpa sebarang masalah. Para peserta selamat tiba di Islamabad International Airport mengikut jadual, dan pada 7 Oktober pagi, peserta pulang ke Kuala Lumpur dengan seribu kenangan indah.
NVOG Adventure: Episode Karakoram II 2024 bukan sekadar pengembaraan bermotosikal tetapi juga sebuah ekspedisi yang menguji keberanian, ketahanan, dan semangat persaudaraan. Meredah laluan mencabar, menikmati pemandangan menakjubkan serta pengalaman budaya yang mendalam, setiap detik perjalanan ini mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada 17 peserta yang telah bersama-sama menjayakan ekspedisi ini, sekali gus menjadikannya satu pengalaman luar biasa dan penuh makna.
1. Ahmad Fazrul Shahril Bin Tajuddeen – Pulau Pinang
2. Ahmad Faisal Bin Hisham – Selangor
3. Azran Bin Mohamad – Perlis
4. Md Noh Bin Jamaludin – Pulau Pinang
5. Mohd Shuki Bin Ahmad – Terengganu
6. Mohd Roslan Bin Harun – Terengganu
7. Zahari Bin Abdullah – Kedah
8. Idris Bin Othman – Pulau Pinang
9. Mohammad Fauzee Bin Haji Mohd Isa – Kedah
10. Mohamad Hatta Bin Omar – Pulau Pinang
11. Mohd Yuseri Bin Che Din – Terengganu
12. Zulkepli Bin Mohd Isa – Kedah
13. Ramli Bin Abdullah – Pahang
14. Muhamad Zuraidi Bin Mohamad Shukri – Qatar
15. Dzulkeffly Bin Hassan – Selangor
16. Mohd Abdul Rani Bin Harun – Pahang
17. Zahurin Bin Abdul Wahab – Terengganu