Lazimnya dalam dunia permotoran dua roda, motor besar lebih bagus. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa penunggang motosikal berkemahiran tinggi di dunia ini bermula dari sebuah motosikal yang kecil seperti 125cc. Tidak dinafikan, motor besar, kuasa besar, bunyi pun besar dan apatah lagi menjadi perhatian setiap kali ditunggang atau apabila berada di atas jalan raya tetapi bagi mereka yang tidak berniat pun untuk menjadi penunggang kelas A atau berkemahiran tinggi, perkara yang paling menyeronokkan apabila menunggang jentera yang bersesaran kecil.Honda Grom merupakan salah satu motosikal yang dibangunkan dengan memberi fokus untuk keseronokan pada motosikal bersesaran kecil. Boleh dikatakan, ia juga memainkan peranan dalam segmen mini-bike dan ini tidak menghentikan para pengeluar lain untuk mengeluarkan motosikal berkapasiti kecil, motosikal mini naked-bike. Antaranya, motosikal Z125 dari Kawasaki yang dijual di pasaran Kanada dan juga US. Ia mempunyai bahagian dan juga prestasi mirip Honda Grom.
Pada tahun 2016, Kawasaki Z125 Pro telah membuat kemunculan pertamanya dan berani menandingi Honda Grom yang terlebih dahulu diperkenalkan dua tahun lebih awal. Selepas setengah dekad, Z125 Pro berpuashati di posisi kedua serta tidak iri hati melihat Grom yang terus kekal menjadi perhatian di kedudukan teratas. Kawasaki juga tidak berniat untuk memberhentikan pengeluaran Z125 di pasaran US, malah telah mendedahkan warna baharu yang membuatkan model ini tampil lebih sporty!
Jika dilihat pada barisan model lain keluaran Kawasaki, tahun 2023 ini lebih kepada warna baharu untuk Z125 Pro. Perubahan estetik mini-bike ini termasuk warna yang diolah semula membuatkan motor ini tampil lebih segar. Tambahan pula, gaya keseluruhan motosikal ini sudah pun kelihatan moden dan sangat berbeza dengan Honda Grom. Fork terbalik pada Z125 Pro ini telah disadurkan dengan warna emas dan juga didatangkan dalam tiga warna baharu.
Bagi versi biru, rim aloi Z125 Pro telah dilayangkan dengan warna emas. Manakala untuk versi hijau, rim aloinya warna merah. Akhir sekali, versi warna merah didatangkan dengan rim aloi berwarna hitam. Lebih estetik, sporty dan juga tidak lapuk ditelan zaman. Selain warna, spesifikasi motor ini kekal sama dengan enjin satu silinder 4-lejang, transmisi manual 4-kelajuan dan juga kapasiti tangki bahan api 7.5 liter serta dilengkapi dengan tayar 12 inci, depan dan belakang!
Sumber : RideApart / Kawasaki