Menunggang jentera seperti GSX-S1000GX, sebuah jentera touring baharu dari Suzuki adalah sesuatu yang dinantikan oleh penulis. Terima kasih saudara Hafizh Moro dan pihak pengurusan Suzuki atas kesudian memberi kesempatan ini.
Untuk info, jentera ini merupakan impian penulis sebaik ia dilancarkan secara global pada tahun 2023. Bukan sebab nama atau kuasa enjinnya namun faktor utama adalah jentera ini mempunyai kepelbagaian konsep yang ditawarkan.

Apa yang menarik perhatian penulis jentera ini menghimpunkan kesemua ciri yang diperlukan oleh kebanyakan penunggang masa kini. Sporty, laju seperti superbike, mudah untuk dikendalikan, selesa dan setiap inci merangkumi segala-galanya.
Kehadiran GSX-S1000GX sekali gus memberi saingan kepada model sedia ada dan untuk info, jentera ini menggunakan enjin empat silinder 999 cc DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan yang digunakan datang secara standard dengan quickshifter.
Jentera ini menawarkan keselesaan yang cukup mengagumkan sepanjang penulis melakukan sesi tunggang uji terutamanya dari segi kelajuan dan teknologi. Suspensi elektronik baharunya memberikan tunggangan yang lembut dan tajam pada kelajuan, tetapi tayar yang lebih baik dan brek yang lebih kuat akan meningkatkan pengendalian dan pengalaman menunggang.

GSX-S1000GX merupakan model yang diadaptasi pada model GSX-1000GT. Kedudukannya yang agak tinggi dengan pemilihan fork yang panjang namun penulis dapat mengimbangnya. Walaupun ketinggian tempat duduknya 845mm yang mungkin sedikit mencabar untuk sesetengah penunggang untuk meletakkan kaki di tanah tidak pernah menjadi masalah.
Malah, penunggang boleh menggunakan fungsi pra-beban belakang elektronik untuk merendahkan bahagian belakang motosikal apabila berhenti, dan beralih kembali ke AUTO selepas bergerak. Ia sememangnya sebuah jentera yang cukup berkuasa, namun kadangkala enjinnya berdepan dengan kekurangan kehebatan pada pusingan gear rendah untuk menunggang santai dan mod menunggang yang lebih seimbang.
Selain itu, jentera ini turut dikawal oleh sistem kawasan elektronik semi aktif atau Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES). Hal tersebut membolehkan ia menerima data dari unit pengukuran inersia (IMU) untuk memberikan jenis redaman yang betul dalam meliputi semua aspek menunggang.

Suspensi belakang termasuk ciri ‘auto-levelling’ mampu menyesuaikan pra-beban spring untuk menampung berat yang berbeza. Keseimbangan yang betul amat penting bagi penunggang yang mahu melakukan perjalanan yang jauh dalam memastikan kawalan selamat.
Sebaik penulis berada di atas jalan raya, terasa suspensi dari Showa memainkan peranan yang cukup baik. Ia mampu melaraskan secara automatik dan bertindak mengikut keadaan jalan raya yang dilalui penulis.
Beberapa ‘mod’ turut disediakan untuk keselesaan penulis dan penunggaang amnya, samada untuk memilih jenis Hard, Medium, Soft atau User.
Mod ‘A’ yang paling sporty bagi mereka yang memilih menunggang dengan cara agresif manakala mod ‘B’ agak sederhana sementara mod ‘C’ bagi mereka yang memilih untuk menunggang secara santai. Mod tunggangan boleh disesuaikan mengikut kesesuaian dan pengalaman anda.

Namun penulis lebih suka memilih mod B secara kerap namun kadang kala menukar ke mod A ketika beraksi di atas lebih raya. Ketika keadaan jalan raya sesak, mod C amat sesuai sekali pun ia agak perlahan berbanding dua mod sebelum ini.
Sebagai sebuah motosikal yang lebih fokus kepada tunggangan di atas jalan biasa, GSX-S1000GX datang dengan rim 17 inci, yang dibalut masing-masing tayar 120/70 di hadapan dan 190/50 di belakang. Bagi kuasa pemberhentian, GSX-S100GX dilengkapi dengan brek tetapan cakera berkembar bersama angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal dengan angkup Nissin satu piston di belakang.
Untuk mereka yang mencari jentera yang pelbagai guna seperti GSX-S100GX, anda boleh memperolehi ciri-ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk Cruise Control, Traction Control, Wheelie Control, Roll Torque Control, Cornering ABS serta skrin TFT 6.5 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk pelbagai fungsi.
Bagi mereka yang melihat jentera ini agak besar dan sudah tentu nisbahnya agak berat, penulis ingin memberitahu bahawa berat keseluruhan GSX-S1000GX adalah 232kg dan ia datang dengan tangki bahan api 19 liter.

Sekali pun ramai yang membandingkan jentera ini dengan jenama yang seangkatan dengannya, penulis masih memuji keseluruhan jentera ini. Dari segi penampilan ia cukup mengagumkan. Terdapat warna Maroon, Biru dan Hitam pada tag harga RM89,900 seunit (tanpa kos lain-lain).
SEKILAS FAKTA – SUZUKI GSX-S1000GX
Enjin 999cc
Jenis Enjin Penyejukan cecairm 16v, 4 – inline
Kerangka Aluminium spar berkembar
Tangki Bahan Api 19 liter
Panjang 2,150 mm
Lebar 925 mm
Tinggi 1,350 mm
Jarak Roda 1,470 mm
Ketinggian Tempat
Duduk 845mm
Berat 232kg
Ciri Elektronik Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES)
Suzuki Road Adaptive Stabilization (SRAS)
Saiz Tayar Depan 120/70 x 17
Saiz Tayar Belakang 190/50 x 17
Harga RM89,900
Gambar : Peter Lim



















