Semakin kerap aktiviti jelajah Semenanjung diadakan yang bukan sahaja terhad kepada penunggang solo, malah disambut baik oleh kelab-kelab permotoran dua roda. Terbaharu, kelab KapcaiDuaBeradik turut menyambut cabaran ini dan sedang dalam misi Jelajah Silaturahim Semenanjung Malaysia yang bermula dari 18 Februari lalu dan dijangka tamat pada 26 Februari ini.
Konvoi ini terdiri daripada tiga orang adik-beradik iaitu Zahir Ayie, Mohd Shahril dan Muhd Shukry. Mereka turut disertai seorang lagi peminat kapcai antik dari Sungai Siput di Perak yang lebih dikenali sebagai Rahim Kapcai Solo. Para peserta konvoi telah dilepaskan oleh YB Syed diiringi bacaan doa oleh Ustaz Imran.
Bagi makluman, kilang FKR menjadi destinasi pertama dalam siri jelajah ini kerana KapcaiDuaBeradik ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas sokongan FKR terhadap Jelajah Silaturahim Semenanjung Malaysia. Bertempat di Klang, ketibaan para peserta konvoi telah disambut oleh En. Ong Heng Huat selaku Pengurus Jualan dan juga En. Ernesto Cheah yang juga Pengurus Pemasaran FKR Marketing Sdn Bhd.
Ketibaan mereka turut disambut Admin Honda RS 150R Malaysia Community (Official), En. Mohd Alfishahrin dan En. Eirwan Ahmad yang kebetulan baru pulang dari Pattaya Bike, Thailand. Kehadiran konvoi juga menerima sambutan baik oleh ahli-ahli Club Antique Motor Kulim iaitu En. Awi Sobri dan En. Abdul Wahab di sepanjang perjalanan sekitar Kuala Lumpur.