Sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan yang bakal disambut seluruh rakyat Malaysia esok, pastinya ramai yang sudah bercadang untuk mengadakan aktiviti-aktiviti bagi meraikan hari paling istimewa dalam sejarah. Namun, sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, aktiviti-aktiviti kelab seperti berkonvoi tidak dapat dianjurkan. Pada tahun ini, keadaan masih serupa dan orang ramai khususnya kelab-kelab permotoran tidak melakukan aktiviti seperti berkonvoi.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata sesi pertemuan dalam bentuk santai khususnya di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seharusnya dielakkan. Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menasihatkan kelab-kelab permotoran agar tidak menganjurkan sebarang aktiviti berkonvoi terutama sekali ketika negara sedan berhadapan dengan varian Delta virus Covid-19 yang lebih mudah tersebar dan berjangkit.
“Ini supaya pergerakan mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewaktu pandemik Covid-19 selain mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya sepertimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama di negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Walaupun begitu, bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini, pihak JSPT sudah bersedia dengan perancangan dalam mengatur penugasan Op Khas Ambang Merdeka 2021.
Menurutnya, polis juga mengadakan operasi secara bersepadu bersama lain-lain agensi penguatkuasaan dalam menguatkuasakan peraturan dan pematuhan kepada SOP Op Covid-19.
“Menjelang 31 Ogos 2021, Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64 tahun. Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda dan negara dalam tempoh PPN secara berfasa, tiada sebarang sambutan atau perarakan secara besar-besaran akan diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri,” katanya.
Sumber : Harian Metro