Jalan susur masuk Plaza Tol Kajang menuju ke Kuala Lumpur akan ditutup sementara kepada semua kenderaan mulai 10 malam hingga 5 pagi bermula Rabu ini hingga 9 Okt.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan memotong pokok menggunakan mesin khas di kawasan itu dapat dilakukan dengan selamat.
“Sehubungan itu, pelanggan lebuh raya dari arah Kajang menuju ke Kuala Lumpur dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dengan menggunakan Lebuh Raya SILK dan Besraya,” menurut kenyataan itu di sini.
Sementara itu, pelanggan juga boleh menggunakan Lebuh Raya SILK dan Besraya untuk memasuki lebuh raya PLUS melalui Plaza Tol UPM semasa tempoh itu.
PLUS menasihati pelanggan supaya merancang perjalanan mereka dan menggunakan laluan alternatif dan mengikut arahan daripada petugas PLUS.
“PLUS menghargai kerjasama semua pelanggan lebuh raya sepanjang tempoh penyelenggaraan dan sokongan mereka dalam memastikan aliran trafik lancar,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA