Islamic Bike Fest 2019 Vol. 3 Karnival Motosikal Islam 3.0 Menggamit Puluhan Ribu Pengunjung

Kepala Batas: Karnival Motosikal Islam kali ke-3 yang berlangsung pada 6 hingga 8 Julai lalu di venue yang sama sebelum ini iaitu di ‘the Bikers Mosque’ Masjid Abdullah Fahim, Bertam SPU telah berjaya mengekalkan momentumnya sebagai karnival patuh shariah yang berjaya menggamit puluhan ribu pengunjung tempatan dan antarabangsa antaranya dari Singapore, Indonesia dan Thailand.

Intipati festival ini yang bukan menumpukan kepada program-program menjurus kepada sukan bermotor sahaja tetapi mengenengahkan pelbagai program yang menyantuni semua golongan masyarakat termasuk kanak-kanak dan remaja. Antara program yang mendapat sambutan hebat ialah Kayuhan Ukhuwah (80km), Pertandingan Qasidah, Pertandingan Memanah, Pertandingan Memasak, Festival Silat Nusantara, Forum Subuh, Kuliah Dhuha Muslimat, Kuliah Dhuha Mualaf, Kuliah Maghrib, Forum Perdana IBF, Malam Santai Anak Muda bersama Artis Hijrah, Mega Ride Amal ke CCRC AADK Kampung Selamat, aksi stunt, aksi pocket bike, kursus penunggangan selamat bersama Wazi dan TV3 Bikers, larian muhibbah, himpunan motosikal super moped bawah 200cc, himpunan motosikal klasik, sudut Kartunis Gayour, Ijtimak Overlander serta Perasmian Malaysia Local Route oleh Timbalan Menteri Pelancongan.

Festival Motosikal Islam ini dirasmikan oleh TYT Tun Dr. Abdul Rahman Bin Abbas, Gabenor Pulau Pinang pada 7hb Julai jam 9.30 malam. Ramai selebriti-selebriti dakwah yang terlibat dalam program-program di atas antaranya Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Hanafiah Malik, Ustaz Jafri Abu Bakar, Ustaz Abdullah Khairi, Ustaz Aswad Nasrun, Hj. Shamsul Ghau-Ghau, Maulana Helmi, Ustaz Khan Daie, dR Sam, Ali XPDC, Ijam Medicine, Zul Handy Black bersama Salam Buskers, Ustaz Dato’ Kazim Elias, Ustaz Shamsul Debat, Ustaz Shafie Yusof Ghani, Ustazah Fatimah Syarha dan Daie Afiqah. Sokongan dari pelbagai kelab motosikal dari seluruh semenanjung juga amat menggalakkan.

Festival ini yang telahpun terbukti berjaya sebelum ini hasil kerjasama Masjid Abdullah Fahim dan Northern Versys Owners Group (NVOG) mendapat sokongan penuh oleh JHEAIPP bersama masjid negeri serta masjid-masjid daerah yang lain.

Objektif utama adalah mengangkat martabat program pengimarahan masjid berbentuk mega dan patuh shariah. Festival ini diterajui oleh Ustaz Zul Khairi Ramli dan mendapat sokongan dari Pegawai Daerah SPU, Tuan OCPD Daerah SPU bersama pasukan PDRM, MPSP, Bertam Properties SB,  Pusat Khidmat Parlimen Permatang Pauh dan banyak pihak lagi. Festival ini berjaya mengangkat masjid sebagai tarikan kepada pelancong domestik dan luar negara dan pastinya mengharumkan nama negeri Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang menyajikan festival motosikal Islam patuh shariah bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

Gambar dan Teks : Fazrul Shahril