Sejak dilancarkan pada September 2021, Honda CBR150R berjaya meraih perhatian serta memperoleh reputasi cemerlang di arena supersports dengan keseimbangan prestasi, gaya dan cirinya tersendiri. Kini, Boon Siew Honda memperkenalkan pula CBR150R Edisi Repsol Terhad.
Liveri Repsol yang ikonik pada Honda CBR150R akan terus menarik perhatian selain reka bentuknya yang sporty dan agresif. Warna oren yang mudah dikenali bersama logo Repsol dibalut dengan jalur putih dipaparkan pada tepi motosikal, diikuti pula warna hitam yang kebanyakkannya di fender bawah. Rim berwarna oren memberikan CBR150R sentuhan atletik apabila berada di atas jalan.
Ia diperkukuhkan lagi dengan sistem lampu LED penuh dan dwi-lampu LED hadapan yang agresif diperoleh dari DNA CBR250RR. Ciri-ciri lain membuatkan penampilan CBR150R lebih sporty ialah brek cakera beralun, rim oren menyerlah dan panel meter digital penuh yang menyertakan pelbagai maklumat kepada penunggang.
Motosikal ini dilengkapi enjin DOHC jenis penyejuk cecair 150cc, mampu memberikan kuasa maksimum 12.0 kW @ 9,000rpm dan tork maksimum 13.7Nm @ 7,000 rpm. Digabungkan dengan transmisi kuasa 6-kelajuan, CBR150R memberikan prestasi terbaik di kelasnya.
CBR150R dilengkapi dengan “Anti-Lock Braking System” 2 Saluran (ABS) yang memberikan keselesaan dan keyakinan membrek kepada penunggang. Slipper Clutch juga merupakan ciri yang tersedia untuk meningkatkan pengalaman penunggang dengan operasi klac yang lebih mudah dan selesa.
Hanya 800 unit Honda CBR150R Edisi Repsol akan ditawarkan kepada orang ramai. Pemilihan warna sedia ada akan terus tersedia di pasaran.