Motosikal Honda EX5 sudah berada di Malaysia lebih 30 tahun lalu dan sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Walaupun cuma sebuah motosikal yang ringkas, EX5 menjadi begitu laris kerana kepercayaan yang diberi pengguna berdasarkan ketahanan, senang digunakan dan penjagaannya yang mudah.
Bagi makluman, EX5 Dream 110 menggantikan model lama EX5 sekali gus menambah baik model tersebut. Secara kasarnya, rupa EX5 ini dengan yang lama tidak banyak bezanya. Hanya bahagian lampu utama hadapan dan belakang serta komponen-komponen kecil lain sahaja yang ditukar. Dari arah hadapan, penampilannya mudah diterima dengan rekaan yang lebih bulat dan moden. Namun, bahagian belakang seperti ada sedikit kekurangan. Mungkin kerana motosikal ini sudah terlalu serasi dengan kita, sehingga membuatkan sebarang perubahan seperti tidak menjadi.
Enjin yang digunakan adalah bersesaran 109.17cc empat lejang dan mencatat peningkatan kuasa sebanyak 11 peratus dan 0.4 peratus lebih pantas dalam pecutan 0-220m. Sukar untuk penulis membuktikan dakwaan tersebut. Namun apa yang boleh dikatakan, EX5 Dream 110 tetap mempunyai daya tarikan tersendiri, biarpun kuasa yang terhasil sekadar cukup-cukup sahaja.
Alasannya mudah. EX5 Dream 110 ialah sebuah kapcai yang amat mudah dikendalikan. Ini membuatkan tugas untuk menunggangnya bukan satu masalah besar untuk sesiapa pun. Lebih menarik lagi, model yang dipaparkan ini dilengkapi dengan penghidup enjin elektrik. Tempat duduk EX5 Dream 110 adalah rata dan pemegangnya pula mudah dicapai. Dengan kedudukan seperti ini, ia menjadi serba boleh. Jika menaikinya berdua, anda dengan mudah dapat melaras kedudukan selesa dengan saiz tubuh masing-masing.
Sekiranya menunggang berseorangan, terpulanglah kepada anda untuk duduk macam mana sekali pun. Sama ada ke belakang sedikit atau menunduk, ia tetap menawarkan posisi tunggangan yang selesa. Saya bukan seorang pemilik EX5 Dream 110 tetapi pernah menunggang model lama EX5 beberapa kali. Apa yang boleh dikatakan, jika model itu mampu membuat anda tersenyum dan berseronok, model ini tidak kurangnya.
Kuasa dan saiz gigi ‘sprocket’ yang berpadanan membuatkan ia mudah memecut dan bergerak dalam trafik dengan kelajuan yang selamat dan tidak terlalu perlahan. Jika dilihat pada risalah, EX5 Dream 110 dikatakan mampu bergerak sehingga 214 kilometer (km) menerusi satu isian petrol. Tetapi dengan cara tunggangan saya, angka itu tidak mungkin dapat dicapai.
Jika jarum minyak berada di garisan merah, anda boleh mengisi minyak RON95 sebanyak RM6 untuk memenuhkan tangkinya. Dengan cara tunggangan saya yang mengerah kuasa sepanjang masa dan pada kebanyakan masa membawa pembonceng, minyak itu hanya mampu bertahan untuk perjalanan sekitar 120km sahaja.
Namun saya percaya, jika anda lebih berlembut dengan pendikitnya dan tidak menunggang secara terlalu agresif, jarak perjalanan yang lebih baik pasti dapat dicapai. Lagipun, penjimatan adalah antara sebab utama ramai pengguna memilih motosikal ini sejak sekian lama.
Honda EX5 Dream 110
Spesifikasi
Enjin : 109.17cc, OHC empat lejang dengan sistem penyejukan udara
Transmisi : Empat kelajuan
Kuasa maksimum : 7.6hp @ 7,500rpm
Tork maksimum : 8.32Nm @ 3,500rpm
Berat bersih : 94kg (penghidup tendang dan elektrik)
Kapasiti tangki : 4 liter
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 3