Dua tahun menyepi ekoran wabak pandemik Covid-19, edisi ketiga GenBlu di Perak, jelas cukup meriah dengan kebanjiran hampir 12,000 pemilik motosikal dari seluruh tanahair. Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) samada aktiviti darat mahupun air nyata menghidupkan suasana aktiviti motosikal.
Pengunjung juga turut berpeluang menguji jentera elektrik E10, jentera ATV dan motocross serta aktiviti air seperti jetski dan banyak lagi program lain yang disediakan. Memeriahkan lagi suasana adalah khemah promosi dari KYB, Racing Boy, tayar Maxxis dan pelbagai khemah berkaitan HLYM.
Pertandingan motosikal tercantik dan kehadiran motosikal retro turut menarik perhatian pengunjung ke tapak temasya GenBlu. Merancakkan lagi suasana temasya GenBlu kali ini adalah kehadiran selebriti popular Baby Shima serta artis terhangat lain yang telah di undang khas untuk menghiburkan para pengunjung.
Kemuncak kepada aktiviti GenBlu adalah acara Cabutan Bertuah dengan pengunjung berpeluang memenangi 3 jentera Yamaha dan pelbagai hadiah sampingan yang telah disediakan.
Untuk info, edisi awal GenBlu bermula pada 2018 di Batu Kawan, Pulau Pinang diikuti MAEPS di Serdang, Selangor.