Sekali lagi RTC Gopeng yang terletak di Perak berjaya mencuri tumpuan pencinta dunia permotoran dua roda khususnya pemilik motosikal Kawasaki. Dianjurkan buat julung kalinya oleh Team Retrostreet khas untuk Kawasaki Retro sahaja dan motosikal-motosikal lain hadir sebagai sokongan.
Berlangsung pada 24 Julai lalu, Kawasaki Retro 2k22 ini asalnya dianggarkan bakal menghimpunkan sekitar 500 ke 600 buah sahaja. Namun, jangkaan itu ternyata kurang tepat kerana pada hari kejadian sebanyak 2500 buah motosikal telah turun padang dan memenuhkan tapak parking di arena serta luar arena.
Lazimnya, kita sering melihat acara-acara melibatkan motor Kawasaki ini di negara jiran seperti Thailand. Kali ini, perasaan yang cukup berbeza apabila dapat melihat ia dengan lebih dekat dan diadakan di negara sendiri. Pastinya membuatkan ramai teruja khususnya para pengikut motosikal Kawasaki retro di Malaysia.
Bagi makluman, program ini lebih cenderung dalam usaha menghimpunkan pelbagai model motosikal Kawasaki retro di antara tahun 80-an, 90-an dan motor-motor 2000 yang turut ditemui sepanjang program berlangsung seakan memberikan sokongan sekali gus memeriahkan lagi Kawasaki Retri 2k22 ini.
Selain dari himpunan yang menjadi tarikan utama, pihak penganjur turut menjayakan pertandingan Autoshow yang melibatkan lebih 20 kategori yang dipertandingkan yang mewarnakan lagi program ini. Salah satu segmen yang mencuri perhatian ialah Helmet Rare.
Tidak ketinggalan beberapa aktiviti lain seperti ride paling jauh, rider wanita, rider otai dan banyak lagi.Keseronokan program diteruskan dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran sekumpulan Pusat Tahfiz dari Parit yang membuat persembahan Qasidah yang sangat menarik.
Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada barisan penaja cabutan bertuah serta hadiah sumbangan penjual-penjual alat ganti Kawasaki dari seluruh Malaysia. Diharapkan pihak RetroStreet dapat menjayakan Program Kawasaki Retro ini sebagai acara tahunan yang pastinya dinanti-nantikan oleh semua peminat khususnya Kawasaki Retro.
Sama-sama kita nantikan Kawasaki Retro 2k23 tahun hadapan. Sekali lagi, tahniah Retro Street Perak.