Bumi Bentong, Pahang baru-baru ini bertukar menjadi lautan dua roda apabila menjadi tuan rumah kepada perhimpunan gergasi, Mega Gathering Bikers 1.0 pada 7 Jun 2026 yang lalu. Seawal pagi lagi, keheningan daerah tersebut dipecahkan dengan deruman enjin yang memenuhi ruang udara, menandakan kehadiran kira-kira 2,000 orang penunggang motosikal dari pelbagai pelosok negeri dan latar belakang yang mula membanjiri lokasi acara.

Kehadiran para peserta yang luar biasa ini bergerak dengan satu matlamat murni, mengeratkan ukhuwah dan meraikan keindahan semangat persaudaraan yang menjadi teras dunia permotoran tempatan. Lorong dan jalan utama di sekitar Bentong kelihatan begitu hidup dan berwarna-warni dengan kehadiran pelbagai variasi jentera. Walaupun berbeza jenama dan kapasiti enjin, kepelbagaian tersebut dileburkan sama sekali demi menjayakan satu semangat kembara yang sama.
Kemuncak yang paling mencuri tumpuan pastinya fasa pergerakan konvoi mega gergasi yang bermula dari Shell Bentong menuju ke Teratak Haji Mus. Barisan ribuan motosikal yang bergerak panjang dan tersusun rapi itu berjaya mencipta satu pemandangan estetik yang cukup memukau dan sukar dilupakan. Kelancaran serta aspek keselamatan sepanjang laluan konvoi tersebut dikawal selia dengan sangat ketat oleh barisan marshal terpilih di bawah pimpinan Tuan Ariffin, dengan kerjasama erat daripada pihak PDRM.

Ruang acara turut diserikan dengan kehadiran ikon overlander dunia yang tidak asing lagi, Anita Yusof, yang hadir memberikan sokongan padu kepada komuniti. Kejayaan besar penganjuran sulung ini merupakan hasil dedikasi penuh Presiden Tams Rider iaitu Ayahanda Pak Tam selaku penganjur utama, manakala kecekapan Dawie LWB selaku penyelarasan program (organizer) memastikan tentatif acara berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Kemeriahan Mega Gathering Bikers 1.0 ini disemarakkan lagi dengan pengumuman hadiah utama sebuah motosikal sumbangan penaja rasmi, TM Motorworld, sebagai simbol penghargaan tertinggi kepada peserta yang hadir. Program berskala besar ini turut mendapat sokongan padu daripada barisan penaja industri terkemuka seperti Petronas Sprinta, FKR Malaysia, dan Znexlab. Walaupun tirai acara sudah berlabuh, memori yang terpahat dalam perhimpunan ini jelas membuktikan satu prinsip keramat komuniti dua roda; dua ribu penunggang, satu jalan, satu jiwa dan satu brotherhood!


























