Helmi, Khairi Dan Ady Takluk Pusingan 8; Azroy, Farid Serta Ady Juara Keseluruhan

Pusingan 8 yang melabuhkan tirai Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Bandar Medini Iskandar, Johor menyajikan aksi penutup musim yang cukup mendebarkan merentasi ketiga-tiga kategori utama. Pertarungan sengit di atas litar kering dan basah menyaksikan penentuan takhta kejuaraan musim 2026 dimuktamadkan dengan penuh bergaya oleh barisan pelumba terbaik negara.

Dalam kategori perdana CP150, pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Md Helmi Azman, berjaya menawan perlumbaan akhir sementara kedudukan naib juara sudah memadai buat pelumba HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar, untuk mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan CP150 musim 2026.

Memulakan saingan dari petak utama, Azroy tercicir ke kedudukan kelima sebaik perlumbaan dilepaskan apabila Md Farish Hafiy Farid Sezli dari IDEMITSU HONDA YAM RACING pantas merampas kedudukan pendahulu diikuti Helmi, Md Irfan Haykhal Amidi (TAB SPORTS SCK HONDA RACING) dan Md Haziq Md Fairues (IDEMITSU HONDA YAM RACING). Helmi mula mengasak sebelum memintas Hafiy pada pusingan kelima untuk menerajui saingan. Di belakang, Azroy bangkit memintas Irfan pada pusingan ketujuh sebelum merampas tempat kedua daripada Hafiy pada pusingan ke-10.

Menjelang pusingan ke-12, Azroy merapatkan jurang sehingga 0.290s di belakang Helmi, manakala kelompok pengejar yang diketuai Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR) ketinggalan 3.388s pada pusingan ke-19 selepas beliau memintas Hafiy pada pusingan ke-17. Memilih untuk bermain selamat di pusingan terakhir, Azroy akur di tempat kedua (15’36.511s) di belakang juara, Helmi (15’35.614s), sementara Kasma melengkapkan podium ketiga pada 15’39.191s.

Beralih kepada saingan CP125 yang berlangsung dalam keadaan hujan dan litar basah, pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Md Khairi Asyraf Mahmood, bangkit mengungguli perlumbaan akhir. Sementara itu, Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING tetap mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan CP125 biarpun terjatuh di pertengahan saingan. Memulakan saingan dari petak utama, Khairi tercicir ke tempat kelima di awal perlumbaan.

Rakan sepasukannya, Raiyan Khardanee M Sanusi, merampas kedudukan pendahulu daripada pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Idlan Haqimi Raduan, diekori rapat oleh Farid. Drama memuncak pada pusingan kelapan apabila Farid terjatuh ketika menghampiri selekoh pertama dan mengheret Raiyan terjatuh sama sekali gus membuka ruang buat Idlan mengambil alih tampuk pimpinan diikuti rapat Khairi. Kedua-duanya pantas melebarkan jurang 6.859s daripada kelompok pengejar menjelang pusingan ke-10.

Kemuncak debaran hadir pada pusingan ke-14 apabila Khairi bijak menyelit memintas Idlan dari bahagian dalam sebelum mengekalkan kelebihan tipis untuk menjuarai perlumbaan pada masa 12’14.350s. Idlan terpaksa akur di tempat kedua dengan catatan 12’14.679s, manakala Farid yang segera bangkit menyertai semula perlumbaan dan mencatat masa terpantas 47.706s pada pusingan ke-11 cemerlang menamatkan saingan di podium ketiga dengan masa 12’18.463s.

Dalam saingan kategori WIRA pula, dominasi mutlak dipamerkan oleh Nuzzul Ady Muhammad Sudin apabila mengesahkan kemenangan bergaya meskipun telah mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan lebih awal pada Pusingan 6. Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING itu tetap menampilkan tunggangan bertenaga untuk menamatkan musim dengan penuh kemanisan selepas memulakan perlumbaan dari petak utama hasil catatan masa terpantas 46.871s pada sesi Kelayakan.

Ady tidak meluru ke hadapan sebaik perlumbaan dilepaskan, diekori rapat oleh Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING. Manakala Sheikh Mohd Isyraf (ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM), Md Fairil Hazmi Farid Sezli (IGOL BROTHERS 7 TECH RACING) dan Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam (HONDA RS MEGATECH RACING TEAM) melengkapkan kelompok lima teratas. Penguasaan Ady semakin sukar digugat pada pusingan ketiga untuk mengekalkan kelebihan di hadapan.

Saingan merebut kedudukan podium menyaksikan Fairil memintas Isyraf pada pusingan kelima sebelum memacu jentera dengan lebih agresif pada pusingan ketujuh. Ady kekal tenang mengawal rentak di hadapan Al-Syafiq sebelum melintasi garisan penamat selaku juara pada masa 9’28.129s, diikuti Al-Syafiq di tempat kedua (9’29.356s) dan Fairil di tempat ketiga (9’29.627s). Berakhirnya Pusingan 8 ini sekali gus melabuhkan tirai saingan kejuaraan musim ini dengan menobatkan Azroy Hakeem Anuar, Md Farid Hakimi Farid Sezli dan Nuzzul Ady Muhammad Sudin sebagai juara keseluruhan bagi kategori masing-masing.

Top 3 Terpantas – CP150
1. Md Helmi Azman – TAB SPORTS SCK Honda Racing (15’35.614s)
2. Azroy Hakeem Anuar – Honda Castrol Power1 Yuzy Racing (15’36.511s)
3. Kasma Daniel Kasmayudin – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (15’39.191s)

Top 3 Kedudukan Keseluruhan – Pelumba
1. Azroy Hakeem Anuar – Honda Castrol Power1 Yuzy Racing (117 points)
2. Kasma Daniel Kasmayudin – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (111 points)
3. Md Haziq Md Fairues – Idemitsu Honda YAM Racing (103.5 points)

Top 3 Kedudukan Keseluruhan – Pasukan
1. Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (180.5 points)
2. Honda Castrol Power1 Yuzy Racing (173.5 points)
3. Idemitsu Honda YAM Racing (170.5 points)

Top 3 Terpantas – CP125
1. Md Khairi Asyraf Mahmood – IPone Yamaha YY Pang Racing Team (12’14.350s)
2. Md Idlan Haqimi Raduan – Zynergys Honda KC Racing Team (12’14.679s)
3. Md Farid Hakimi Farid Sezli – Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing (12’18.463s)

Top 3 Kedudukan Keseluruhan – Pelumba
1. Md Farid Hakimi Farid Sezli – Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing (113 points)
2. Md Idlan Haqimi Raduan – Zynergys Honda Kc Racing Team (110 points)
3. Raiyan Khardanee M Sanusi – IPone Yamaha YY Pang Racing Team (91 points)

Top 3 Kedudukan Keseluruhan – Pasukan
1. Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing (205 points)
2. IPone Yamaha YY Pang Racing Team (179 points)
3. Zynergys Honda Kc Racing Team (167 points)

Top 3 Terpantas – WIRA
1. Nuzzul Ady Muhammad Sudin – Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing (9’28.129s)
2. Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki – IGOL Brothers 7 Tech Racing (9’29.356s)
3. Md Fairil Hazmi Farid Sezli – IGOL Brothers 7 Tech Racing (9’29.627s)

Top 3 Kedudukan Keseluruhan – Pelumba
1. Nuzzul Ady Muhammad Sudin – Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing (175 points)
2. Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki – IGOL Brothers 7 Tech Racing (93 points)
3. Md Akid Md Shah Khearul Nisiam – Honda RS MEGATECH Racing Team (88 points)