Penganjur himpunan motosikal terbesar di Lembah Klang, Kuala Lumpur Bike Week (KL Bike Week) 2019 telah menutup tirai dengan meriahnya. Perhimpunan motosikal berkuasa tinggi edisi ulang tahun ke-10 tersebut berakhir dengan penuh kelainan apabila mengumumkan seorang pengunjung sebagai pemenang bertuah.
Lebih uniknya apabila seorang wanita diumumkan sebagai pemilik motosikal Harley-Davidson Sportster Kustom yang menjadi rebutan peminat-peminat motosikal pada acara tersebut. Tuah menjadi milik Milka Taniea Hidayat dari Iron Head Motor Group apabila salah satu daripada empat tiket masuk yang dibelinya terpilih sebagai nombor bertuah.
Sebelum itu seperti kelaziman, acara KL Bike Week 2019 diteruskan dengan tradisi pertukaran cenderahati kelab-kelab motosikal dengan pihak penganjur dan pengumuman pemenang-pemenang pertandingan motosikal kustom membabitkan kategori Best American Pro Street, Best American Custom Chopper, Best Japanese Custom Bike, Best Classic Bike, Best Superbike dan Best Custom Baggers. Turut diumumkan pemenang untuk Kategori baru yang diperkenalkan untuk tahun ini iaitu Best Café Racer, Best Street Cub, Best HD Stock Custom, Best Club Style, Best American Performance Bike dan Best Classic Bike Restore.
Selain pengumuman menggembirakan kepada pengunjung dan kustom builder, KL Bike Week 2019 juga dimeriahkan dengan hiburan pentas oleh pemuzik-pemuzik tempatan seperti dari Kugiran Tepi Pantai Band, Republic of Brieckfield, The Mambang Performance, The Nabil Nazmi Trio Performance serta dari Nifael Blues Band. Walau bagaimanapun, dalam kegembiraan tersebut Pengarah KLBW, Muhd Idi Iskandar Abu Zahar telah mengumumkan KL Bike Week 2019: The End of Chapter One adalah penamat untuk penganjurannya.
Menurut Muhd Idi Iskandar atau Eddie, keputusan itu dibuat demi menghormati permintaan bondanya yang mahukan ulang tahun ke-10 acara motosikal tersebut menjadi yang terakhir dianjurkan oleh Red Garage Malaysia. Namun ujar Idi, dia amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berminat untuk meneruskan penganjuran KL Bike Week untuk Chapter Two.
Sama-sama kita doakan semoga ada pihak yang berminat untuk meneruskan kelangsungan perhimpunan motosikal lagenda tersebut.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin