Harga Kayangan, Hanya 1000 Unit Di Dunia

Bukan setakat dilabelkan sebagai model motosikal Vespa paling ‘rare’, malah dari segi harganya pun membuatkan kita berfikir jutaan kali untuk menatap model Vespa 946 10 Anniversario Edisi Terhad bersempena meraikan Tahun Arnab bagi adat dalam masyarakat kaum Cina di sini.

Bagi makluman, model Vespa 946 yang dikeluarkan ke peringkat global, hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja. Bagi pasaran di Malaysia pula, DiDi Group sebagai pengedar rasmi motosikal jenama Vespa, sebanyak 20 unit model terbabit dengan grafik karektor Arnab bakal dijual untuk pasaran tempatan.

Terdahulu, Vespa 946 edisi terhad telah mengeluarkan beberapa grafik menarik seperti 946 RED, 946 Emporio Armani dan grafik Christian Dior yang menjadi bahan koleksi peminat Vespa dari seluruh dunia.

Vespa 964 yang dipertontonkan sempena Vespa Fiesta 2023 di Johor Bahru merupakan model skuter dengan sesaran enjin 155cc, dipadankan dengan enjin satu silinder dan menghasilkan kuasa sehingga 12.7hp pada 7,750 rpm dan 12.8Nm torque pada kelajuan 6,500rpm.

Melihat kepada reka bentuk dari jauh, tidak banyak perbezaan yang boleh didapati berbanding model-model vespa yang lain. Namun jika anda berkesempatan untuk berkunjung ke Motoplex, Petaling Jaya dan menyaksikan sendiri Vespa 946 ini, banyak perbezaan eksklusif yang didapati pada model ini.

Kerangka yang membentuk model ini merupakan dari jenis monocoque, dipadankan dengan tempat pemegang aluminium, panel sisi dan pelana sokongan pada bahagian belakang motosikal terbabit.

Vespa 946 dipadankan dengan rim tayar aloi pada saiz 12 inci, cakera brek bersaiz 220mm serta angkup brek di bahagian depan dan belakang berserta sistem brek anti-kunci (ABS) dan sistem pemberhentian yang cukup canggih.

Model ini juga memperlihatkan reka bentuk ikonik Vespa klasik dengan penyediaan satu tempat duduk sahaja. Di bahagian badan sebelah depan, tertera plet kecil yang memaparkan nombor siri keluaran edisi khas model berkenaan.

Dari segi harga, model Vespa 946 yang dipertontonkan kepada pengamal media pada Festival Fiesta Vespa di Johor Bahru didatangkan pada tag harga RM99,000 dan model rare ini hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit sahaja di dunia dan model yang dibawa oleh Motoplex adalah unit yang ke-43 dari 20 unit yang dibekalkan kepada Malaysia.