Setiap kali menunggang motosikal, pasti beri kesan kepada tangan kerana memegang bar pemegang terlalu lama. Tahukah anda, getaran yang sama juga memberi kesan terhadap telefon pintar sekiranya ia dipasangkan pada bar pemegang dan bahagian yang paling mudah terkesan adalah kamera.
Perkara ini disahkan oleh pihak Apple menerusi dokumen sokongan yang disiarkan pada Jumaat lepas. Menurut Apple, telefon pintar yang terdedah kepada gegaran motosikal, skuter atau moped boleh menyebabkan kerosakan yang serius. Kata Apple lagi, gegaran dengan frekuensi tertentu boleh merendahkan kestabilan imej optikal iPhone (Optical Image Stabilization) dan closed-loop autofocus.
Sebagaimana yang semua ketahui, kamera telefon pintar adalah salah satu hasil kejuruteraan yang hebat yang membantu mengambil serta merakam imej dengan cantik walaupun pada saiznya yang kompak. Kalau kamera biasa dulunya, nak bernafas pun serba salah takut gambar yang diambil bergegar dan tidak fokus. Namun, masalah itu tiada lagi dengan adanya OIS. Selain itu, beberapa telefon pintar iPhone juga menggunakan closed-loop autofocus.
Closed-loop AF melawan kesan grativiti dan gegaran untuk mengekalkan fokus yang jelas dan tepat dalam gambar pegun, video dan juga panorama. Dengan closed-loop AF, pengesan pengukur graviti dan kesan gegaran untuk menentukan kedudukan lensa agar gangguan pergerakkan dapat diatur dengan tepat.
Menurut iPhone lagi, ramai pengguna telah membuat aduan berkenaan kamera yang tidak berfungsi kesan gegaran. Dalam beberapa kes, kamera terus berhenti sebaik sahaja selepas pengguna selesai menunggang motor. Masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh pengguna Apple tetapi juga pengguna Android juga menghadapi masalah yang sama selepas memasang pada motosikal mereka. Lebih menyedihkan, kos untuk membaiki sama dengan harga membeli sebuah telefon pintar yang baharu!
Bagi mengelak masalah ini berlaku, Apple menasihatkan agar pengguna tidak memasang telefon pintar di atas motosikal untuk masa yang lama. Ia kedengaran agak mustahil kerana ramai yang bergantung kepada telefon pintar terutamanya yang berkaitan dengan penghantaran. Masalah ini boleh diatasi dengan penggunaan pemegang telefon pintar dengan peredam-gegaran (vibration-damping) yang ada dijual di pasaran tetapi ia masih tidak membantu sepenuhnya kerana ia hanya mengurangkan risiko.
Jadi, penyelesaian yang terbaik hanya satu. Jangan letak atau pasang telefon pintar pada motosikal anda.
Sumber : Jalopnik