Gergasi automotif Jepun, Honda, sekali lagi mencuri tumpuan peminat skuter kembara menerusi pelancaran Honda ADV350 Limited Edition pada acara Ekspo Motosikal China 2026 yang berlangsung di Chongqing. Tampil unik dan tersendiri, jentera edisi terhad ini diberi sentuhan estetik berunsurkan seni tradisional Cina yang cukup halus pada bahagian panel badan serta padanan warna rim yang eksklusif. Dihasilkan khusus untuk pasaran China, skuter gaya adventure ini ditawarkan pada harga 42,480 yuan (sekitar RM24,600) dan pengeluarannya dihadkan kepada 1,000 unit sahaja di seluruh dunia.
Walaupun tampil dengan kemasan luaran baharu yang sarat dengan motif budaya ketimuran, aspek mekanikal jentera ini kekal mempertahankan prestasi kebanggaan siri ADV. Nadi penggeraknya masih dijana oleh enjin 330 cc silinder tunggal eSP+ penyejukan cecair yang berupaya menghamburkan kuasa 29.38 PS pada 7,500 rpm dan tork maksimum 31.8 Nm pada 5,500 rpm. Hantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi automatik V-belt CVT, manakala sistem brek cakera hidraulik tunggal pada kedua-dua bahagian dilengkapi sistem ABS dwi-saluran secara standard.
Dari segi kestabilan dan keselesaan tunggangan pelbagai permukaan jalan, ADV350 ini dilengkapi fork terbalik (USD) di bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar bersama tiub takungan (reservoir) di bahagian belakang. Kerangkanya menawarkan kelegaan tanah sejauh 155 mm dengan ketinggian tempat duduk 795 mm serta berat basah 188 kg. Bagi perjalanan jarak jauh, cermin penghalang angin boleh laras setinggi 180 mm dan tangki bahan api berkapasiti 11.7 liter memastikan perlindungan serta jarak kembara yang lebih meyakinkan.
Memenuhi piawaian skuter kembara moden, jentera ini padat dengan pelbagai ciri elektronik termaju seperti skrin paparan warna TFT 7-inci, sistem kawalan tork Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem kuncian pintar (smart key) dan pemantau tekanan tayar. Kemudahan penunggang turut diperkasakan menerusi penawaran pemegang berhaba lima aras, keterhubungan telefon pintar Honda RoadSync, serta ruang simpanan bawah tempat duduk seluas 48 liter yang mampu memuatkan dua topi keledar muka penuh (full-face). Tidak ketinggalan, slot pengecas Type-C.
Dalam majlis pelancaran yang sama, Honda turut mengambil kesempatan memperkenalkan kembar bergayanya iaitu Honda NSS350 Edisi Terhad. Menggunakan tema grafik seni tradisional Cina yang serupa tetapi dengan gaya reka bentuk urban-tourer yang lebih kemas, NSS350 ini turut dihadkan kepada 1,000 unit sahaja pada harga tawaran 40,980 yuan (sekitar RM23,800). Model ini berkongsi nadi enjin 330 cc dan pakej elektronik yang sama, namun hadir dengan sifat tunggangan bandar menerusi berat 185 kg dan ketinggian tempat duduk 780 mm.
Kehadiran kedua-dua model edisi terhad ini jelas menunjukkan strategi dinamik Honda dalam menyantuni kehendak budaya dan pasaran tempatan menerusi garapan seni bina eksklusif. Pengenalan grafik tradisional pada jentera moden berprestij tinggi seperti ADV350 bukan sahaja memberi nilai tambah dari segi penampilan visual, malah menjadikan 1,000 unit jentera ini sebagai barang koleksi (collector’s item) yang amat bernilai buat penggemar tegar jenama itu di China.