Pengeluar jenama Honda tempatan, Boon Siew Honda Sdn. Bhd., menutup tirai gemilang tahun 2025 dengan membawa nafas baharu pada model Honda Dash 125. Model moped popular bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kini tampil dengan empat warna baharu, Kelabu, Biru, Putih, dan Hijau, diserikan dengan rekaan jalur (stripe) baharu yang membawa dua gaya dinamik: Modern Sporty dan Neo Sportivo, memberikan lebih banyak pilihan kepada penunggang untuk mengekspresikan identiti mereka.

Gaya Modern Sporty, yang menghiasi varian Kelabu, Biru, dan Putih, menampilkan grafik geometri berlapis yang tajam, sekaligus mengukuhkan imej Dash 125 yang lincah dan sporty. Sementara itu, varian Hijau tampil eksklusif dengan gaya Neo Sportivo, memberikan aura kemas dan garang melalui kemasan hijau pekat yang dipadankan dengan perincian kelabu gelap, jalur kelabu yang ringkas, serta logo sayap Honda di kedua-dua belah motor.
Kesemua empat warna baharu ini ditawarkan pada harga RM6,599.00 (Harga Jualan yang disyorkan, tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan yuran pendaftaran) dan boleh didapati di semua bilik pameran IMPIAN X bermula 17 Disember 2025. Honda Dash 125 merupakan model yang dikuasakan oleh enjin 125cc yang telah dipertingkatkan prestasinya. Model ini turut diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dengan tahap penggunaan bahan api yang sangat menjimatkan iaitu 59 km bagi setiap liter.

Bukan sekadar prestasi, rekaan estetikanya juga diperkemas dengan visor, handle cover yang kemas, serta lampu hadapan LED untuk penglihatan yang lebih jelas. Dari aspek keselamatan, brek cakera di bahagian hadapan dan belakang memastikan kuasa hentian yang lebih seimbang dan yakin. Gabungan elemen ini menjadikan Dash 125 pilihan tepat buat mereka yang mementingkan gaya dan fungsi.
BSH menawarkan waranti pengilang bagi model Honda Dash 125 selama 2 tahun atau 20,000km (mana-mana yang terdahulu).































