Chear Motorrad kini membuka pusat BMW Motorrad Retail Brand Experience 3S yang baharu di Shah Alam, Selangor, menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh rangkaian jualan dan perkhidmatan BMW Motorrad di Malaysia. Terletak di Taman Perindustrian Tiong Nam, kemudahan ini merupakan lokasi baharu bagi operasi jualan dan servis BMW Motorrad di bawah pengurusan pengedar berpengalaman, Chear Motorrad.
Pusat baharu ini menggantikan premis terdahulu di Puchong dan menampilkan reka bentuk moden seluas 540 meter persegi. Ia dibina sebagai ruang kontemporari yang bukan sahaja menampilkan rangkaian motosikal BMW Motorrad, tetapi turut menjadi pusat pertemuan dan interaksi bagi komuniti penunggang BMW.
Antara kemudahan menarik yang ditawarkan termasuk ruang penerimaan servis khas serta kafe bar, memberikan pelanggan suasana santai untuk berehat sambil berinteraksi dengan penunggang lain. Pendekatan ini selaras dengan matlamat BMW Motorrad untuk menjadikan setiap kunjungan sebagai satu pengalaman jenama yang lengkap dan bukan sekadar urusan jual beli atau servis motosikal.
Menawarkan perkhidmatan 3S iaitu Sales, Service dan Spare Parts, pusat baharu Chear Motorrad ini dilengkapi 10 ruang kerja (working bays) bagi memastikan proses penyelenggaraan motosikal dilakukan dengan pantas dan efisien. Kemudahan moden ini disokong oleh pasukan seramai 40 orang kakitangan merangkumi jualan, servis, pemasaran dan sokongan teknikal.