Seperti yang ditunggu-tunggu, model Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary telah dilancarkan semalam. Namanya yang panjang itu – Ducati Panigale V2 Bayliss Kejuaraan Pertama Ulangtahun Ke-20 – diberikan sempena meraikan kemenangan kejuaraan World Superbike bagi Troy Bayliss yang julung kalinya, 20 tahun lepas.
Troy Bayliss merupakan pelumba kelahiran negara Australia. Beliau memenangi sebanyak tiga kejuaraan superbike dunia bermula pada tahun 2001, 2006 dan 2008 dengan menunggang jentera Ducati 996R, Ducati 999R hinggalah 1098R. Bayliss berjaya memenangi sebanyak 52 perlumbaan dan menduduki podium sebanyak 94 kali.
Beliau memenangi setiap kejuaraan dengan menunggang jentera Ducati yang menggunakan engine L-Twin (V-Twin 90-darjah). Oleh itu, Ducati melancarkan model Panigale V2 ini dan bukan Panigale V4 yang disebut-sebut sebagai khabar angin sebelum ini.
Sebagai permulaan, model ini dipasang dengan nombor “21” iaitu nombor perlumbaan untuk Troy Bayliss. Grafiknya pula mengikut inspirasi jenteranya ketika itu. Tema merah, hijau dan putih pula menunjukkan bahawa ia berasal daripada Itali. Terdapat satu tandatangan Bayliss di atas tangki selain daripada nombor siri model ini di atas penigkat fork atas.
Model edisi khas ini bukan sekadar grafik sahaja. Suspensi Showa dan Sachs yang standard telah ditukar kepada fork Öhlins NX30 serta monoshok Öhlins TTX36. Damper handelnya juga disediakan oleh Öhlins.
Bateri lithium serta pelana duduk untuk penunggang sahaja meringankan motosikal sebanyak 3 kg. Sistem ekzosnya diperbuat daripada titanium dan gentian karbon. Enjinnya masih sama, iaitu jenis Superquadro 955cc yang menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 153 hp dan tork maksimum sebanyak 104 Nm.
Ia dijual pada harga £ 17,995 (RM 104,854.76).