Ducati Diavel merupakan motor paling stabil dari Ducati sebaris dengan motor-motor lain keluaran jenama ini termasuk Hypermotard. Diavel turut dikenali sebagai jentera yang menawan, tegap yang membuatkannya popular di kalangan peminat motosikal dan ini boleh dilihat menerusi hasil jualannya yang cukup memberangsangkan. Tahun lepas, Ducati telah mengeluarkan edisi khas Diavel bersempena dengan kerjasama dengan ikon automotif Itali iaitu Lamborghini. Ducati Diavel 1260 edisi Lamborghini ini dilayangkan dengan warna dark matte green colorway bersama kemasan berwarna gangsa. Bagi edisi 2021, Ducati mengeluarkan edisi khas Black and Steel baru yang diinspirasikan dari konsep Ducati Materico yang pernah didedahkan sebelum ini pada tahun 2019.
Edisi Black and Steel ini menampilkan livery berwarna hitam dan kuning dengan corak grafik terbaharu. Secara keseluruhannya, Black and Steel ini tidak mempunyai perbezaan ketara dengan karakter yang sudah dikenali pada Diavel. Bagaimanapun, ia tetap nampak baharu dan tampil lebih segar.
Ducati Black and Steel ini akan dipamerkan di Milano Monza 2021 Motor Show yang berlangsung di Piazza Milano di Milan. Selain itu, persembahan istimewa yang menampilkan motor terbaharu Diavel ini akan diadakan dengan kehadiran Pengarah Pusat Stail Ducati, Andrea Ferraresi.
Sumber : Rideapart.com