Sesi ujian pra musim MotoGP bulan depan di Malaysia dibatalkan oleh pihak penganjur selepas pandemik Covid-19 memaksa negara itu mengisytiharkan situasi darurat. MotoGP dalam satu kenyataan berkata, acara yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 16 Februari dan 19 hingga 21 Februari itu terpaksa dibatalkan kerana masalah logistik yang berkaitan dengan situasi Covid-19.
“Situasi semasa Covid-19 yang membawa kepada pengumuman kawalan pergerakan, memaksa pembatalan kedua-dua acara itu yang sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Malaysia pada Februari,” kata kenyataan itu.
Malaysia mengisytiharkan darurat semalam berikutan kebimbangan terhadap tahap kesihatan yang semakin genting selepas China dan Jepun turut mengambil langkah sama untuk mengatasi penularan kes tempatan.
MotoGP menambah, sesi ujian di Qatar yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Losail pada 10 hingga 12 Mac akan diteruskan.
“Sebarang perkembangan terkini atau perubahan akan dimaklumkan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Musim baru MotoGP dijadual bermula 28 Mac di Qatar. Semalam Formula Satu (F1) mengumumkan aksi pembuka tirai Grand Prix Australia terpaksa ditangguhkan kepada November manakala pusingan di China masih belum diputuskan.