Sebelum ini, banyak sekali laporan mengenai super moped yang ingin dihasilkan oleh Modenas. Sehinggakan tidak pasti adakah kapcai tersebut bakal menjengah pasaran Malaysia atau sebaliknya.
Bukan sekali Modenas menyatakan ia tidak berhasrat untuk meneruskan projek jentera yang dilengkapi enjin 150cc itu. Sedangkan Modenas dikatakan sudah berbelanja besar dengan menghantar jurutera mereka ke Austria untuk membangunkan enjin dan motosikal berkenaan.
Kemudian, timbul pula laporan Kawasaki sudah membeli hakcipta motosikal itu daripada Modenas. Berita tersebut sememangnya memberi sinar baru buat Modenas dan peminat yang masih sabar menunggu, walaupun tidak tahu bila kapcai itu akan tiba.
Terbaharu, memetik laporan daripada Arena Permotoran, seorang peminat Modenas iaitu Adlizan Saidi telah berkongsi sekeping gambar yang menunjukkan sebuah moped sedang menjalani ujian jalan raya di Changlun, Kedah.
Berdasarkan kepada spyshot itu, motosikal yang menggunakan trade plate berkenaan menerima pelbagai penambahbaikan berbanding prototaip sebelum ni. Tidak mustahil ia merupakan model prototaip terkini daripada Modenas.
Jika betul ini ialah prototaip super moped Modenas, maka benarlah jawapan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan pada awal tahun lalu bahawa projek itu masih belum berkubur. Untuk makluman, projek itu bermula sejak tahun 2013 lagi. Bayangkan kalau ia berjaya direalisasikan jauh lebih awal, Modenas pasti sudah menjadi peneraju pasaran moped 150 yang dikini dikuasai oleh Yamaha Y15R dan Honda RS150R.
Apa pun, Roslan ada menegaskan pada bulan lalu bahawa kapcai 150cc itu tidak akan dilancarkan tahun ini. Tahun bila? Kami sendiri pun tak tahu…
Sumber : Mekanika