Jenama topi keledar tempatan, Gracshaw memperkenalkan 6 pilihan reka bentuk topi keledar yang menakjubkan berinspirasi dari imej Negara Matahari Terbit. Diadaptasi pada model Gracshaw Gennex, ia adalah topi keledar dalam segmen terbuka dipadankan dengan double-visor.
Inspirasi dari pelbagai elemen Jepun, ia terdiri dari enam reka bentuk yang unik iaitu Kurita, Tsuru, Japop, Tengu, Oda dan Karasu turut mendapat sambutan positif buat kali pertama ketika dipertontonkan di Terengganu Bike Week 2023 lepas.
Grachshaw Edisi Jepun merupakan model Gracshaw bagi segmen topi keledar terbuka dengan dwi-visor (double-visor) dijual pada tag harga RM420. Pembeli dapat menikmati beg-beg eksklusif samada untuk perlindungan topi keledar mahupun mudah untuk dibawa ke mana sahaja.
“Ini merupakan rangkaian topi keledar yang paling unik dan menarik daripada Gracshaw dan kami mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkan bermula dari konsep sehingga ke bahagian pengeluaran,” ujar Farizan Md Akir, Bahagian Pemasaran, Double Site Marketing.
Untuk rekod, edisi Jepun dari Gracshaw ini telah direka bentuk oleh pereka eksklusif dari Pulau Pinang manakala kilang pengeluaran di Sungai Korok, Jitra, Kedah menyediakan hampir 250 pekerja untuk menyiapkan topi keledar ini.
“Sesetengah orang berpendapat bahawa topi keledar hanyalah aksesori wajib bagi pengguna motosikal berlandaskan keperluan undang-undang, namun bagi kami di Gracshaw topi keledar lebih daripada itu.
“Objektif kami adalah menawarkan perlindungan kepala kepada pengguna motosikal dengan gabungan kualiti, keselesaan dan imej bergaya terutamanya bagi memenuhi kehendak penunggang yang semakin sofisikated dan trend semasa,” ulas Farizan lagi.
Topi keledar Gracshaw dengan lakaran Edisi Jepun menampilkan elemen menarik dan dikategorikan kepada tiga tema utama iaitu Cerita Rakyat (Kurita dan Tsuru), Budaya POP (Japop dan Tengu) dan Catatan Sejarah (Oda dan Karasu) dijual pada tag harga RM420 seunit.