Honda baru-baru ini memperkenalkan skuter PCX 160 ke pasaran Jepun. Pengenalan itu dibuat tidak lama selepas model facelift PCX 125 dilancarkan untuk pasaran Jepun. Skuter tersebut tampil dengan rekaan lebih sporty dan menarik. Biarpun begitu, seperti namanya, jentera itu tidak lagi menggunakan enjin lama bersesaran 149cc. Sebaliknya, ia ditukar dengan enjin empat injap silinder tunggal berkapasiti 156cc.
Enjin tersebut mampu menjana kuasa sehingga 58hp fan tork 15Nm pada 6,000rpm. Untuk rekod, enjin dahulu berkuasa 14.5hp dengan tork 13.6Nm. Sebagai sebuah full model change (FMC), PCX 160 menerima beberapa bentuk penambahbaikan. Antaranya ialah Air Input Line, peningkatan diameter throttle body dan struktur dalaman sistem ekzos agar ia dapat berfungsi dengan lebih lancar
Di pasaran Jepun, skuter itu dipasang dengan brek cakera pada kedua-dua roda. Berbeza dengan PCX 125 untuk Eropah yang dilengkapi sistem brek ABS dua saluran, PCX 160 hanya dipasang dengan brek ABS saluran tunggal. Aspek keselamatan dipertingkatkan lagi dengan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control. Ia berfungsi mengawal cengkaman roda belakang dan mengurangkan risiko tayar gelincir. Sistem itu boleh dinyah aktif oleh pengguna jika ia tidak diperlukan.
Dari segi pengendalian, PCX 160 menggunakan fork hadapan jenis teleskopik dan shock berkembar untuk roda belakang. Beratnya mencecah 132 dan tangki minyak pula berkapasiti 8.1 liter. Penambahbaikan lain ialah paparan meter baharu berwarna, slot pengecasan USB dan ruang penyimpanan barang di bawah pelana yang lebih besar, 30 liter. Bagi memudahkan penunggang, sistem Smart Key membolehkan enjin dihidupkan tanpa perlu mengeluarkan kunci daripada poket atau beg.
Dipasang di kilang Honda di Vietnam, PCX 160 dijangka dijual pada Januari 2021. Jentera itu hadir dalam empat warna menarik dan ditawarkan pada harga sekitar 407,000 yen (RM16,000). Masih belum dapat dipastikan sama ada Boon Siew akan membawa masuk PCX 160 untuk bersaing secara langsung dengan Yamaha NMAX 155 2020.
Sumber : Mekanika