Anda benar-benar mahukan KTM 1290 Super Duke R yang mempunyai kuasa, mampu memberi keterujaan serta dilengkapi teknologi terkini tetapi mampu pergi jauh dan dalam masa sama selesa ditunggang? Pilihan yang sesuai untuk anda adalah 1290 Super Duke GT.
Baru-baru ini, KTM secara rasminya mengumumkan model 1290 Super Duke GT untuk tahun 2022 dan telah pun mengisi laman web rasmi KTM. Seperti motor-motor keluaran KTM terdahulu, Super Duke GT ini juga dilengkapi dengan peranti teknologi tinggi yang dimahukan kebanyakan peminat dua roda.
Ia mempunyai 6-axis IMU yang mengawal bantuan penunggang elektronik seperti sensitive traction control, cornering ABS dan sistem Motorcycle Stability Control (MSC). Malah, ia juga dilengkapi dengan mode supermoto KTM yang membenarkan penunggang melepaskan ABS belakang untuk meluncur dan menggelincir.
Dikuasakan oleh motor LC8, 1290 Super Duke GT ini mematuhi piawaian Euro 5, dilengkapi dengan enjin L-twin, 1301cc dengan pencucuhan berkembar di setiap kepala silinder dan forged piston untuk menghasilkan 175 hp dan tork 103 ft-lbs. Bagi memberikan kestabilan, ia dilengkapi dengan suspensi WP semi-aktif yang boleh dilaraskan. Manakala sistem pemberhentian pula dipasangkan dengan brek Brembo dengan ABS.
Selain itu, versi 2022 ini dipasangkan dengan sub-kerangka yang telah direka semula untuk menampung dan membawa pembonceng, serta muatan penuh untuk pannier. Bukan itu sahaja, bahagian badannya juga telah diberikan penampilan yang lebih tajam serta agresif. Akhir sekali, Super Duke GT ini dilengkapi dengan panel instrumen TFT warna penuh berukuran 7-inci yang dapat memaparkan kesemua ciri-ciri elektronik di atasnya.
Ia juga didatangkan dengan sistem navigasi Turn PLS yang boleh diselaraskan bersama telefon pintar. Switchgear baharu turut dimuatkan, menjadi motosikal ini lebih mudah ditala semasa sedang menunggang. KTM 1290 Super Duke GT tahun 2022 ini dijangka berada di pasaran pada Januari tetapi masih tidak diketahui harga dan pasaran mana yang akan dihantar terlebih dahulu.
Sumber : Rideapart / KTM