Sejak dahulu lagi, peminat dan idola tidak dapat dipisahkan. Tanyalah semua orang, pasti ada di kalangan mereka akan mengkagumi personaliti seseorang. Samada ia adalah selebriti, bintang sukan atau ahli perniagaan terkenal. Bercerita mengenai idola, Muhammad Nazeem Hamid amat meminati pelumba Yamaha satu ketika dahulu, Kenny Roberts. Dari segi umur, Nazeem yang lebih mesra disapa Ajim, bukan berada di zaman kegemilangan juara dunia dari Modesto, California, Amerika Syarikat itu.
Kerana ketaksuban Ajim terhadap Kenny Roberts, anak muda dari Pulau Pinang ini lebih mengagungkan bintang masa lalu berbanding pelumba masa kini seperti Valentino Rossi mahupun pelumba Honda dari Sepanyol, Marc Maquez. Penyelia makanan berusia 28 tahun yang bertugas di Sunway Hotel, Seberang Jaya, Pulau Pinang ini, jelas mengabadikan segala bentuk kenangan terhadap juara dunia tiga kali bagi kategori 500cc (1978,1979 dan 1980) ke atas motosikal RXZ miliknya.
Jentera miliknya yang dikenali Yamaha RXZ Full fairing atau kini lebih dikenali sebagai RZR 135 aka DNA Kenny Roberts merupakan model Yamaha RXZ satu ketika dahulu. Jika disebut pasal RXZ mungkin ramai akan kenal akan bentuknya sekali pun ketika ini, namun jentera popular sekitar 1980an ini semakin jarang ditemui memandangkan jumlah yang semakin berkurang. Difahamkan, model paling popular sekitar 1980an keluaran Yamaha, kini hanya berjumlah sekitar antara 40-80 unit sahaja.
Menarik mengenai RXZ milik Ajim ini, ia telah bertukar DNA dengan menjadikan ia sebuah jentera RZR. Untuk rekod, RZR merupakan model yang cukup popular di Indonesia sama seperti RXZ di Malaysia dan tidak hairanlah, banyak perkakasan yang ditalakan menjadi RZR datang dari negara jiran.
“Beberapa komponen RZR yang terdapat pada jentera RXZ ini diimport khas dari Indonesia. Ini kerana jentera RZR hanya dikeluarkan untuk pengguna di Indonesia dan Taiwan sahaja kerana itu, hanya dua negara yang masih ada lagi komponen jentera terbabit.
“Antara barangan yang dikacukkan kepada RXZ saya adalah seperti fullset full fairing, lampu isyarat, cermin sisi dan penghadang angin serta bracket yang semuanya berharga hampir RM3000 selain penyerap hentakan jenis KYB model botol yang dipadankan dengan jentera RZR,” jelas Ajim.
Untuk maklumat pengguna di tanah air, perbezaan antara model RZR dan jentera RXZ yang popular di kalangan penunggang di Malaysia hanyalah pada set hadapan, bracket dan penyerap hentakan di bahagian belakang sahaja.
Bagi memberi nafas baharu kepada RZR ini, Matt Spray di Bagan Serai diberi tanggungjawab oleh Ajim untuk melakukan semburan air brush menjadi versi lagenda MotoGP Kenny Roberts menjadi kenyataan. Selain itu, Ajim juga memadankan sport rim jenisYP BAPAK (RD250) dengan pemasangan tayar besar dan memasukan double pump dihadapan serta pump tunggal dibelakang yang disembur warna kuning. Sehingga satu masa, jentera RZR 135 milik Ajim kelihatan menyamai model Yamaha yang lebih ‘senior’ RZ350R YPVS.
Di bahagian fork pula, ia telah diubahsuai untuk memberi ruang kepada cakera berkembar berfungsi. Oleh kerana itu, corak fork sebelum ini terpaksa diubahsuai dan dikilatkan semula serta ia ditambah dengan bracket khas berbentuk seperti sepucuk pistol.
Selain itu, Ajim juga menggunakan penyerap hentakan KYB jenis botol bagi menampakkan keaslian rupa RZR. Walaupun harganya mencecah RM2000 sepasang, menurut Ajim ia tidak menghalang hasratnya bagi memastikan pengubahsuaian dilakukan menjadi lebih menarik.
“Tidak banyak perubahan yang saya terapkan. Hanya beberapa modifikasi pada bahagian tertentu seperti ekzos, set pemegang bar dan meter kerana bagi saya ia tampak lebih ‘rare’ dan jarang ditemui,” ujar Ajim tatkala menyentuh aspek pengubahsuaian terhadap jenteranya itu.
Manakala bagi segmen warna pula, torna warna hitam hanya dilakukan pada bahagian seperti enjin, set pemegang bar menjadikan ia nampak lebih cantik dan seiring dengan warna tema utama iaitu hitam kuning.
Warna kuning menjadikan jentera RZR 135 DNA Kenny Roberts milik Ajim lebih menyerlah. Ia jelas kelihatan apabila beberapa aksesori tambahan antaranya pada pemulas minyak model Domino dan sarung tangan dari model Kitaco serta pemijak kaki di bahagian belakang kesemuanya berwarna kuning.
Selain itu, pengubahsuaian turut berlaku pada bahagian tangki minyak dengan menggunakan sarung fiber bagi menjadikan ia kelihatan lebih besar dan menawan serta seat yang telah diubahsuai dan dipotong bagi melahirkan lagi rupa seksi pada bahagian pelana tersebut.
Bagi memberikan keaslian pada jentera RZR ini, Ajim hanya mengenakan barangan asal, faktor kekemasan pada bahagian yang diubahsuai, kehalusan dan kecantikan pada barang aksesori yang digunakan dan padanan warna sama mengikut spesifikasi RZR model 5speed versi Idonesia.
Untuk menghasilkan sebuah jentera dengan DNA Kenny Roberts, Ajim mengakui, dia sudah berbelanja ribuan ringgit untuk mendapat kepuasan terhadap apa yang dimilikinya.
“Kerana terlalu meminati Kenny Roberts, saya juga telah berbelanja ribuan ringgit untuk membeli beberapa barangan dan aksesori dengan tema Kenny Roberts seperti baju, topi keledar dan sebagainya yang saya gunakan tatkala pada pertandingan modifikasi dan pertunjukan motosikal di seluruh tanahair.
“Malah, orang rumah (isteri) juga menyokong hobi saya ini selain turut mengikuti saya ke mana-mana pertandingan atau autoshow yang berlangsung samada di selatan atau di utara tanahair.
“Menariknya, RZR 135 aka DNA Kenny Roberts jelas tidak mengecewakan saya ketika memasuki apa jua pertandingan sama ada motor atau auto show atau modifikasi motosikal cantik.
“Saban kali, RZR 135 aka DNA Kenny Roberts saya ini, Berjaya menarik minat penonton dan memikat perhatian pertandingan termasuk satu pertandingan yang berlangsung di Sadao Motoday di Thailand baru-baru ini.
“Setelah 12 tahun menggunakan Yamaha RXZ sebelum ini, kepuasan kini jauh lebih terasa setelah mengubahsuai dari model asal kepada RZR dengan DNA Kenny Roberts, kerana bagi saya ia tampak lebih ‘gempak’, rare dan ada sifat retro pada jentera ini,” ujar Ajim lagi.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin
Gambar oleh : Pak Art