PETRONAS Sprinta Racing (SRT) secara rasmi menandatangani pelumba dari Afrika Selatan, Darryn Binder untuk saingan kelas Moto3 tahun depan.
Pasukan itu mengumumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan dengan memberitahu Binder yang juga adik kepada pelumba kelas MotoGP, Brad Binder mengikat kontrak setahun.
“Dia (Darryn) seorang yang agresif, berbakat dan pelumba yang baik, terutama pada hari perlumbaan,” kata Pengarah Pasukan PETRONAS Sepang Racing Team, Johan Stigefelt.
“Dia seorang pelumba yang kamu mahu bekerja dengannya, mahu melangkah ke depan dalam kariernya dan mempunyai ciri-ciri pelumba yang kamu mahukan dalam pasukan, yang boleh mencabar kelompok depan.
“Ini tentunya satu sasaran untuk dirinya. Yang pertama, dia perlu menyesuaikan diri dengan jentera Honda dan kami mahu dia selesa bersama pasukan seperti yang dilakukan pasukan kepada pelumba lain sebelum ini.
“Dia akan dibantu kru yang kuat dan saya yakin yang kami mampu mencapai sesuatu yang sangat bagus bersama.”
Sementara itu, Darryn yang berusia 22 tahun dan mula menyertai saingan kelas Moto3 pada 2015, berkata: “Saya sangat gembira menyertai PETRONAS Sprinta Racing untuk musim depan. Saya sangat gembira apabila peluang ini tiba dan saya fikir kami mempunyai peluang dan pakej hebat untuk dilakukan bersama.
“Saya rasa kami boleh memburu kecemerlangan bersama dan mempunyai masa depan lebih cerah. Sasaran kami adalah bersaing untuk posisi terbaik dalam setiap perlumbaan,” katanya.
Sumber : bharian.com.my