Bukan Sekadar Sembang, Isu Pekerja Gig Jadi Agenda Utama!

Sambutan Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Negeri Perlis berlangsung meriah dari pagi hingga malam, menampilkan pelbagai aktiviti sukan dan program komuniti. Antara acara kemuncak ialah Meet & Greet Jalan Terus X SAU, yang diadakan di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar bermula jam 8 malam hingga 11 malam. Lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan suasana malam yang diisi dengan aktiviti santai, sembang isu semasa dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa 10 buah motosikal elektrik (EV) selain pelbagai barangan lain seperti topi keledar dan minyak enjin sumbangan Petronas.

Program ini dianjurkan oleh Santai Anak Utara (SAU) dengan kerjasama PERKESO Malaysia serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis. Kehadiran pengunjung yang terdiri daripada golongan pekerja sektor ekonomi gig memperlihatkan sambutan positif terhadap inisiatif mendekatkan pihak kerajaan dengan masyarakat. Melalui acara ini, pengunjung berpeluang mendengar dan memahami dengan lebih mendalam mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang telah diluluskan di Parlimen pada Ogos lalu.

Sesi sembang santai dikendalikan oleh Mohd Safiuddin Elias (Acai) sebagai moderator, bersama dua panel jemputan – YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, dan Wazi Abdul Hamid. Mereka berkongsi pandangan mengenai kepentingan RUU tersebut dalam memberi perlindungan sosial, jaminan kerja dan pengiktirafan kepada para pekerja gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing serta pekerja digital bebas.

Menurut YB Steven Sim, RUU Pekerja Gig 2025 merupakan undang-undang baharu yang mengawal selia hak dan kebajikan pekerja gig di Malaysia, agar mereka dapat bekerja dalam keadaan lebih teratur serta bermaruah. Inisiatif ini, katanya, adalah langkah penting untuk memperkukuh ekosistem pekerjaan moden dan menjamin kesejahteraan golongan yang memainkan peranan besar dalam ekonomi negara.

Selain itu, pihak PERKESO Negeri Perlis turut membuka booth khas bagi memberi penerangan lanjut mengenai perlindungan sosial dan manfaat di bawah RUU tersebut. Kehadiran pegawai bertugas membolehkan pekerja gig mendapatkan maklumat terus daripada sumber rasmi, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan dan jaminan kerja.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Steven Sim Chee Keong, YBRS. Encik Sutekno Ahmad Belon, YBRS. Dr. Hj. Mohd Shaharin Umar, YB Tuan Muhammad Azmir Azizan, YBRS. Mohd Suhaimi Mohd Saad, dan YDH ACP Wari A/L Kiew, yang turut menyampaikan sokongan terhadap usaha memperkasakan sektor belia dan pekerja gig di negeri ini. Acara malam itu berakhir dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah, menutup tirai sambutan Hari Sukan Negara 2025 di Perlis dengan semangat kebersamaan yang tinggi antara masyarakat, kerajaan dan komuniti gig tempatan.