Bahagian utara Malaysia tidak pernah sunyi dan sering kali dimeriahkan dengan program-program permotoran dua roda. Terbaharu, satu lagi program berjaya dianjurkan dan mendapat sambutan sangat menggalakan telah diadakan. Gegaq Anak Muda Padang Terap telah berlangsung di Dataran Tunku Putra, Kuala Nerang pada 24 Oktober lalu.
Dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa Padang Terap, tujuan program ini diadakan adalah untuk melahirkan golongan anak muda yang sentiasa bergiat aktif dalam aktiviti yang bermanfaat. Selain itu, mendidik mahasiswa dan anak muda untuk memimpin program-program yang melibatkan jabatan dan komuniti setempat. Dalam masa sama, memberi pendedahan serta kesedaran kepada anak muda supaya mengketengahkan minat dan kebolehkan ke arah yang betul.
Dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar, program ini menjadi satu titik permulaan untuk menganjurkan Festival Permotoran di Padang terap yang diadakan buat julung kalinya. Program ini turut menyasarkan penyertaan seramai 2000 orang peserta. Bagi menarik perhatian dan penyertaan golongan anak-anak muda Padang Terap, pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang program berlangsung.
Pelbagai aktiviti disediakan bagi menarik penyertaan anak-anak muda serta mengisi masa sepanjang program berlangsung. Antara aktiviti yang mengisi program Gegaq Anak Muda ini adalah seperti Konvoi Anak Muda Padang Terap, Himpunan & Pertandingan Motor Stylo, Bongkar Rahsia TikTok Bersama TikTok Guru, Peluang Perniagaan Digital, segmen Rahsia Kejayaan Achey dan Cabutan Bertuah yang menawarkan hadiah bernilai RM10,000.00.
Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program Gegaq Anak Muda Padang Terap yang turut memberikan penghargaan kepada ikon Anak Muda Padang Terap. Selain itu, mengeratkan hubungan antara muda dengan komuniti dan antara satu sama lain juga memberi motivasi untuk menguatkan jati diri dalam kalangan anak muda. Tahniah sekali lagi.