Tidak ramai yang tahu tentang Pocket Rocket dari SOL sebelum ini tetapi sejak tiga tahun yang lalu, moped elektrik ini telah menjalani proses untuk pembinaan yang lebih baik. Pada Oktober 2018, SOL atau Speed Of Light telah mendedahkan konsep Pocket Rocket.
Ketika itu, syarikat tersebut mengatakan Pocket Rocket ini sebuah kenderaan dua roda elektrik serba boleh dan sesuai digunakan di kawasan bandar. Kini, ia telah bersedia untuk memasuki produksi malah, syarikat telah pun mula menerima langganan untuk kenderaan mobiliti persendirian elektrik yang ringan ini.
Apa yang istimewa tentang Pocket Rocket ini? Ia dilengkapi dengan hub motor yang mampu ditunggang pada kelajuan tertinggi 50 batu per jam. Apabila melihat kepada kuasanya, ia tidak langsung menghampiri kepantasan cahaya tetapi ia sudah cukup untuk ditunggang mengelilingi bandar dan kota.
Berat hanya 55kg, ciptaan SOL ini memang merupakan moped elektrik yang sangat ringan ada di pasaran. Roda aluminium 16-inci di depan dan belakang memberikan kestabilan sekaligus membuatkan penunggangnya lebih yakin, manakala sistem brek adalah combined braking system (CBS) yang memastikan keselamatan dan kawalan penuh penunggang.
Ia dibekalkan dengan pek bateri ion-lithium A 58V, 2.5 kWh untuk memberikan kuasa kepada motor elektrik yang menjanjikan penunggangan sejauh 50 batu dengan sekali pengecasan. Harganya pula, jika dibandingkan dengan kesediaannya, Pocket Rocket SOL ini sudah pun dibuka untuk tempahan pada harga $590 (RM2,471.20) tetapi harga keseluruhan pada level entry adalah $7,056 (RM29,555.50).
Setakat ini, tempahan hanya dibuka kepada pasaran Eropah seperti Jerman, Austria, Belgium, Denmark, Perancis, Itali, Luxembourg, Netherland, Norway, Portugal, Sepanyol dan Sweden.
Sumber : Rideapart