Super Skuter! Mungkin itu gelaran diberikan terhadap model skuter terbaharu MForce Bike Holding Sdn Bhd, Maxsym TL 500 yang diperkenalkan kepada media menerusi siaran secara Zoom – Video Conferencing semalam. Diadakan buat julung kali tanpa kehadiran media dan majlis pelancaran sekadar berurusan secara maya, bagaimanapun tidak menghalang kemeriahan pelancaran dua model SYM iaitu Maxsym TL500 dan satu lagi model ‘Super Kapcai’ VF3i 185 Limited Edition dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara ketika ini.
Maxsym TL500 merupakan jentera skuter yang disebut-sebut untuk menjadi pesaing terbaru segmen motosikal skuter berkuasa tinggi ini bakal membuat kemunculan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Model ini merupakan pemasangan tempatan (CKD) di kilang MForce yang terletak di Pulau Pinang dan akan menemui peminat pertengahan Julai ini.
Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings Sdn. Bhd, Asri Ahmad berkata Maxsym TL 500 ini akan dijual pada harga RM 35,888.00. Maxsym TL 500 ini boleh didapati dengan pilihan warna Matt Black, Matt Blue, dan Grey dan boleh didapati di pengedar SYM di seluruh Malaysia.
Maxsym TL 500 adalah skuter berantai pertama yang dikeluarkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. Model ini dilengkapi dengan empat lampu LED di bahagian hadapan membuatkan skuter ini lebih terang tatkala ditunggang ketika waktu malam. Selain dari itu juga, skuter ini hadir dengan sistem meter digital yang cukup menarik. Menarik mengenai skuter ini, Maxsym TL 500 ini mempunyai ekzos berkembar yang menyerupai bentuk sarang lebah Honeycomb Shape cukup memberi keterujaan kepada pengguna.
Selain itu, motosikal skuter SYM ini dibina dengan silinder berkembar yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 30.0kW pada 6,750 rpm dan tork maksimum sehingga 42.5 Nm pada 6,250 rpm. Aspek keselamatan turut dititik beratkan dengan Maxsym TL500 dilengkapi sistem brek yang cukup baik dimana adanya dua cakera bersaiz 275mm di hadapan berserta ABS. Untuk brek dibelakang pula, Maxsym 500 TL mempunyai cakera tunggal bersaiz 275mm dan juga dilengkapi sistem ABS.
Model ini juga mempunyai tangki minyak yang agak besar bagi menjanakan kapasiti enjin 500cc. Tangki minyak yang bersaiz 12.5L ini mampu membantu penunggang untuk tunggangan jarak jauh menepati cirri sebuah ‘Concept Cruiser Adventure’. Bagi memudahkan penunggang untuk menunggang dengan selesa, Maxsym TL 500 ini direka dengan kedudukan santai serta mempunyai reka bentuk pelana yang ergonomik. Selain dari itu, model terbaru ini mempunyai panel instrumen yang cukup cantik dan menarik dan mempunyai sistem “Auto-dimmer” TFT.
Spesifikasi Teknikal
Sesaran Enjin (CC): 465cc
Jeni Enjin : Silinder Berkembar,Sejukan Cecair 4-lejang, DOHC, 8-valve
Gerek x Lejang: 65 x 70 mm
Kuasa Max : 30.0kW / 6,750rpm
Tork Max : 42.5 Nm / 6,250 rpm
Sistem Bahan Api : EFI
Penghidup : Penghidup Elektrik
Transmisi : C.V.T / perubahan kelajuan automatik
Suspensi Depan : FR Teleskopik Terbalik
Suspensi Belakang : suspensi mono tunggal –supensi berbilang pautan
Sistem Brek Hadapan : kaliper 4 omboh radial, Cakera Berkembar 275 mm + ABS
Cakera Brek Belakang : 275 mm + ABS
Saiz Tayar Depan : 120/70-15
Saiz Tayar Belakang : 160/60-15
Panjang : 2.215 mm
Lebar : 801 mm
Ketinggian : 1,442mm
Ketinggian Tempat Duduk : 795 mm
Jarak Roda : 1,543 mm
Kapasiti Bahan Api : 12.5L
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin