Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. (Aveta) yang bakal meraikan ulang tahun pertamanya di pasaran motosikal pada November ini bakal memperkenalkan modelt terkini sebagai taruhan terbarunya. Model baharu yang bakal menjengah pasaran tempatan ialah Aveta Ranger 110. Ia dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM3,500 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans).
Sebelum kemunculan model terbaharu ini, Aveta telah menjual dua model asas untuk pasaran tempatan iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110. Model terbaharu tersebut lebih disasarkan kepada gaya hidup dan keselesaan.
Buat masa ini, dua model berkenaan menjadi asas kepada Aveta Global Marketing untuk menembusi pasaran tempatan. Setakat ini, hampir 5,000 unit DY90 dan RX110 sudah berjaya dijual.
Kedua-dua model tersebut dipasang sepenuhnya secara CKD di kilangnya di Lembah Klang. Aveta Ranger juga akan dipasang di kilang yang sama. Aveta Ranger menggunakan enjin empat lejang satu silinder bersesaran 110cc, dengan sistem penyejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar. Kuasa yang dihasilkan adalah 7.8hp pada 7,500rpm dan tork maksimum 7.8Nm pada 6,500rpm. Ujian tunggangan telah dilakukan dan Aveta Ranger diyakini mampu memenuhi spesifikasi kenderaan cekap tenaga.
Selain itu, Aveta Global dipercayai sedang menguji beberapa model baharu lagi untuk diperkenalkan ke pasaran tempatan yang dijangka Disember ini. Masih belum dapat dipastikan model dan sesaran motosikal yang akan diperkenalkan kerana ia kini berada di peringkat akhir pengkelasan.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ