Aveta Motor Malaysia terus memperkukuh kehadirannya dalam segmen skuter maxi dengan memperkenalkan dua pilihan warna baharu bagi Aveta Nova 250, iaitu “Titan Red” dan “Nordic Blue”.
Susulan maklum balas yang positif dan menggalakkan daripada penunggang di Malaysia, khususnya dalam kalangan pengguna bandar, Aveta memperluaskan rangkaian warna Nova 250 bagi menawarkan pilihan yang lebih ekspresif dan tersendiri, sejajar dengan gaya hidup moden serta personaliti individu.
Varian Titan Red menampilkan gaya yang berani, bertenaga dan dinamik, sesuai untuk penunggang yang menggemari penampilan lebih sporty. Varian Titan Red akan ditawarkan di seluruh negara melalui semua pengedar sah Aveta bermula Januari 2026, pada harga asas RM14,388, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Varian Nordic Blue pula diperkenalkan sebagai Edisi Terhad (Limited Edition), dengan pengeluaran terhad kepada hanya 688 unit di seluruh negara, menjadikannya pilihan yang eksklusif untuk para peminat. Setiap unit Edisi Terhad akan dilengkapi dengan nombor siri unik, bermula dari 001/688 hingga 688/688, sekali gus meningkatkan nilai koleksi dan keistimewaannya.
Edisi Terhad ini turut dipertingkatkan dengan hendal “aluminium sporty” serta pelekat logo khas Aveta, memberikan karakter yang lebih premium dan tersendiri. Aveta Nova 250 Nordic Blue Edisi Terhad akan mula ditawarkan pada Februari 2026, secara eksklusif di (Aveta Preferred Dealers) dan Pusat Aveta Elite, pada harga asas RM14,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Pembangunan dan evolusi Nova 250 dipacu secara kukuh oleh suara pelanggan, dengan penambahbaikan berterusan yang memfokuskan kepada aspek keselesaan, dan keyakinan tunggangan harian. Pendekatan berteraskan pelanggan ini telah meletakkan Nova 250 sebagai pilihan popular dalam kalangan penunggang bandar yang mencari skuter maxi yang seimbang untuk kegunaan harian.
Bagi menambah nilai pengalaman pemilikan, Aveta akan menganjurkan Acara Serahan Grand (Grand Handover Event) khas untuk 388 pelanggan terawal Aveta Nova 250 Nordic Blue Edisi Terhad, sebagai tanda penghargaan dan meraikan pencapaian ini bersama para pengedar dan pelanggan.
Dengan pengenalan warna Titan Red dan Nordic Blue, Aveta meneruskan komitmennya untuk menawarkan produk yang menggabungkan gaya, fungsi dan nilai, sambil memberikan lebih kebebasan pilihan kepada penunggang di Malaysia.