Saya baru balik dari ‘bersiar-siar’ ke kedai motosikal. Sekarang dalam perancangan nak beli superbike. Ini semua gara-gara kawan-kawan lama yang dah mula main balik. 5-6 tahun yang lepas, seorang demi seorang jual motosikal masing-masing akibat kekangan masa. Kini bila anak-anak dah semakin membesar dan kedudukan ekonomi semakin baik dan pentingnya ada masa terluang di hujung minggu, masing-masing mula termakan ‘racun’.
Ia bermula dengan seorang rakan yang membeli sebuah skuter Integra, kemudian disusuli sebuah GSX-R K9 (pada harga mampu milik!), kemudian Hayabusa, Rabbit dan terbaru S1000RR. Kumpulan kami tak besar dan kami tak aktif langsung. Semuanya bersifat kroni-kroni. Kalau konvoi pun memang tak pernah dirancang. Jenis terfikir, sarung helmet terus jalan.
Seharian saya berpusing ke kedai motosikal menampakkan satu perubahan yang ketara. Harga motosikal sekarang jauh lebih murah berbanding ketika saya membeli dulu. Kemasukan motosikal terpakai dari luar negara adalah antara salah satu faktor mendorong pengedar motosikal baru menurunkan harga mereka. Itu adalah satu perkembangan yang baik kerana motosikal moden jauh lebih selamat dengan pelbagai ciri tambahan dan walaupun semakin berkuasa, ia masih dalam kategori menjimatkan bahanapi.
Selari dengan perkembangan motosikal berkuasa tinggi ini juga, senario motosikal mope, skuter dan easy rider tidak pernah padam. Semakin popular di seluruh negeri, motosikal seperti Yamaha Ego ini tiba-tiba mencetus fenomena mengagumkan. Banyak bengkel lahir dengan kepakaran pengubahsuaian custom begini. Bagus juga, sekurang-kurangnya, mereka tak menambah gejala rempit!
Pengubahsuaian skuter kecil ini lebih ke arah estetik di mana ilham untuk mengubahnya menjadi sebuah cubscoot yang berbeza. Ia dimulakan dengan ‘memanjangkan’ titik roda dengan penambahan lengan ayun belakang yang diperbuat khusus mengikut ukuran yang dikehendaki. Pemiliknya, Asri telah memasang rod penyambung ini yang membawa keseluruhan enjin ke bahagian pemacu belakang.
Roda-roda asal telah diganti kepada saiz yang lebih besar. Untuk bahagian hadapan, tayar 120/70r14 dipasangkan pada rim berjejari ungu. Bersamanya ialah sepasang sistem suspensi baru yang menampilkan fork Gold Aloi dan brek asal. Bahagian suspensi belakang diperkuatkan dengan pemasangan penyeraphentak tunggal dari Suzuki RG Sport sementara tayar belakangnya pula dipasangkan dengan saiz 150/70r15 pada sebuah rim kereta yang dicat dengan skema warna sama-ungu gelap.
Bar hendal dengan gugusan meter hadapan ditanggalkan. Ia diganti dengan monkey bar ala chopper bersalut krom penuh. Kaedah ini biasa dibuat pada customizing Honda Ruckus (50cc) di Amerika. Ia kerja custom yang rumit untuk mendapat kedudukan pegangan yang tepat. Menunggangnya tidak lagi satu keselesaan kerana konsep begini direka untuk satu tujuan – GAYA.
Penampilan keseluruhan kosmetik diterjemahkan lagi menerusi penggunaan warna hijau terang matt. Warna ‘mati’ ini dipilih untuk menampilkan sedikit kelainan di kalangan ahli-ahli kelab Voodoo Scoot Clan yang Asri sertai. Dikalangan kelab ini, motosikal adalah satu bentuk kanvas yang diterjemahkan kepada seni. Setiap satunya dibina berbeza di antara yang lain.
Keunikan pengubahsuaian begini tidak akan sampai penghujungnya. Setiap orang ada cara dan idea tersendiri untuk mendapatkan hasil yang diinginkan. Satu masa dulu, ramai yang yang mengharap Boon Siew Honda membawa masuk Ruckus, tapi ternyata sekarang ia tidak perlu!