Setiap orang punya impian dan cita-cita. Bezanya, ialah usaha untuk mencapai impian tersebut samada ia bersungguh ataupun kekal sebagai impian.Kita sering membaca banyak kisah kejayaan yang bermula dari perit jerih ahli perniagaan. Ia boleh dijadikan inspirasi dalam membentuk matlamat masa hadapan. Tak perlu berangan untuk jadi kaya seperti Tan Sri Tony Fernandes, impian dapat membeli Nissan GTR kalau disusuli dengan usaha yang betul, tidak mustahil dapat dicapai.
Dan itulah yang mendorong saudara Nazwan Adlin untuk berdiri sebagaimana dirinya sekarang. Beliau yang lebih mesra digelar Jimmie Asmara (kata orang muka beliau seiras wajah arwah Hani Mohsin) kini memiliki sebuah SPA motosikal yang terkenal. #1 Bikers yang terletak di Batu Caves, Selangor. Jika anda biasa ke perhimpunan dan karnival motosikal, #1 Bikers adalah salah satu peserta yang selalunya hadir memberikan sokongan.
Pengalaman pertamanya ialah memiliki motor jenis EX5 tahun 1993 dibeli pada harga RM1,200. Itu lah motor pertama dan sejak dari itu impian untuk memiliki motor besar semakin kuat apabila melihat jiran di sebelah rumah menggunakan Honda CBR 600.Dahulu beliau hanya bekerja dengan gaji sekitar RM950 sehingga RM1,480 sahaja pada tahun 1994 jadi memang jelas tidak mampu memiliki motor berkuasa tinggi. Namun semangat tersebut tidak pernah padam dalam jiwanya.
Dengan semangat berkobar-kobar dan kerja keras siang dan malam, Alhamdulilah tercapai juga hasrat untuk memiliki motor berkuasa tinggi pada tahun 2013 bila memiliki Kawasaki Versys 650.Namun begitu, sungguh malang semasa membeli atas tangan kawan yang jual murah harga RM13,000 tetapi hanya sempat digunakan dalam tiga bulan sahaja. Rupa-rupanya motor tu motor “PIANG’ jadi kena tariklah jawabnya! Sedih, kan?
Tapi bak kata orang, jika kita dikhianati, Allah akan membantu. Tak sampai dua bulan peristiwa hitam motosikal ditarik, berkat kesabaran serta sokongan kuat dari isteri, beliau dapat juga membeli motosikal kangkang pula iaitu Kawasaki Vulcan 900cc.Pakai motor Vulcan pun tak sampai setahun kerana ada rezeki lebih dan berminat pula jentera dari Amerika. Kali ini beliau menukar beli dengan Harley Davidson Street Glide kerana kagum melihat rekabentuk yang kelihatan gagah perkasa. Bila dah ada motor Harley, isteri yang pada awalnya tak berapa suka berubah jadi suka dan tak semena-mena dia pun berminat dengan membeli sendiri motor Harley Sportster 1200cc.
Dan lebih indah lagi, apabila ada kelapangan mereka akan menunggang bersama.Minat itu kemudian menjadi hobi keluarga bila anaknya turut membeli Ducati Hypermotard. Saudara Wan juga memiliki jentera kecil KTM Duke 690 dan tri-bike Can AM Spider RTS. Beliau menjual Harley dan digantikan dengan jentera touring lebih besar BMW K1600GT.
Antara kenangan manisnya ialah menunggang bersama kelab pertamanya GTB ke Songkhla Bike Week 2014 yang melibatkan sebanyak 34 buah Harley Davidson pelbagai jenis. Ia pengalaman pertama menunggang dalam jarak yang jauh. Kenangan pahit yang tak berapa pahit pun, kalau adapun beliau jadikan ia sebagai pengajaran kerana baginya itulah asam garam semasa ride berkonvoi. Sekarang, hanya satu kelab sahaja yang disertai iaitu BMW Motor Club sebagai ahli biasa.
BMW K1600GT ini dibeli pada 13 April 2017 sewaktu di Terengganu Bike Week. Menurut jurujual BMW tersebut, ada motor terbaru yang didatangkan dengan gear undur. Justeru dengan tidak teragak-agak, beliau bersetuju meminangnya. Modifikasi? Tak banyak yang dibuat kerana motosikal ini dah hampir sempurna dari setiap aspek. Cuma tambahan enjin guard di bahagian bawah dan ada top box di belakang agar pembonceng belakang lebih selesa.
Ditanya kenapa BMW K1600GT? Beliau memberitahu, ia adalah tujuan pemasaran #1 Bikes SPA, selain berminat dengan bunyi deruan enjinnya yang merdu. Minat menubuhkan #1 Bikers Spa timbul kerana semasa mencuci motor di salah satu pusat cucian beliau merasa tidak puas hati dengan hasil cucian tersebut. Lantas muncul idea untuk membuka spa cucian motor yang berkualiti serta berteknologi tinggi dengan kos cucian yang munasabah.
Merealisasikan hasrat Kerajaan untuk menggunakan teknologi biotek dan mesra alam, maka beliau telah menjalankan beberapa kajian pasaran ke atas produk bioteknologi dan penggunaan mesin berwap tanpa penggunaan air yang banyak. Akhirnya setelah beberapa tahun digunapakai, teknologi ini terbukti menepati kehendak pelanggan yang rata-ratanya berpuashati dengan hasil cucian di #1 Bikers.
#1 Bikers Spa merupakan spa motor yang pertama memasuki hampir keseluruhan acara bike week di Malaysia dan juga di Thailand. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dari kawan-kawan bikers yang banyak memberi dorongan serta mempunyai pelanggan tetap termasuk dari luar Malaysia.